SEBANYAK 45 kenderaan telah ditahan dan diperiksa menerusi Operasi Bersepadu (Ops Bersih) ke atas kenderaan perdagangan yang membawa bahan-bahan pembuatan serta melakukan kesalahan trafik di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata operasi tersebut dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Alam Sekitar pada 14 Januari lalu.
“Menerusi operasi ini, sebanyak 45 buah kenderaan perdagangan telah ditahan dan diperiksa.
“Hasil daripada semakan tersebut, tujuh notis kompaun telah dikeluarkan di bawah UUK Pengangkutan Bahan (WPKL) 1997 dan Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Tambahnya 54 lagi notis kompaun turut dikeluarkan oleh agensi-agensi sahabat yang lain atas pelbagai kesalahan.
Dalam perkembangan lain, DBKL turut melaksanakan tindakan khas ke atas penjaja yang meninggalkan barangan perniagaan di tempat awam di sekitar parlimen Segambut baru-baru ini.
“Sebanyak tujuh barangan perniagaan penjaja dan skuter elektrik yang ditinggalkan di tempat awam telah dikenakan tindakan sita serta-merta di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
“Selain itu, satu notis kompaun turut dikeluarkan kepada penjaja yang menjalankan perniagaan tanpa lesen di bawah UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016,” katanya.
DBKL berkata kesemua barangan yang dikenakan tindakan sita telah dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, Kuala Lumpur untuk tindakan rekod dan dokumentasi.
“Pihak DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti.
“Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di pautan https://adukl.dbkl.gov.my/,” katanya. – WILAYAHKU