MASS Rapid Transit (MRT) Corporation Sdn Bhd hari ini memetrai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam membangunkan Kuala Lumpur sebagai ‘Bandar Untuk Semua’ dengan menyediakan mobiliti yang cekap dan mesra alam.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, kerjasama itu akan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam serta mengurangkan pelepasan karbon
selari dengan matlamat jangka masa panjang untuk menjadikan Kuala Lumpur bandaraya rendah karbon menjelang 2050.
“Penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan penduduk Kuala Lumpur setakat hari ini baru mencapai 25 peratus.
“DBKL membantu dan menyokong kuat usaha yang dilaksanakan oleh MRT Corp ini termasuk di peringkat perancangan dan pembinaan bagi mengelakkan kelewatan pembinaan jajaran baharu kelak,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani MoU di Menara DBKL di sini hari ini.
Menjelas lanjut, Mahadi berkata, kedudukan stesen dan laluan ini sudah tentu bertepatan dengan visi pelan perancangan jangka panjang Kuala Lumpur khususnya dalam bentuk Pelan Struktur KL2040 dan juga Pelan Tempatan 2040.
“Oleh kerana laluan MRT 3 sebahagaian besar berada di Kuala Lumpur, maka penglibatan DBKL sangat penting dan kritikal dalam mempercepatkan dan juga menjayakan pembinaan MRT3 mengikut jadual.
“Pada tahun 2040, kita tetapkan satu visi atau sasaran dalam perancangan kita, penduduk Kuala Lumpur perlu menggunakan pengangkutan awam sebagai mode pengangkutan yang utama,” katanya.
Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Sdn Bhd, Datuk Mohd Zarif Hashim. — WILAYAHKU