DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur melaksanakan tindakan sitaan dan pindah halangan terhadap lima penjaja di sekitar Parlimen Seputeh semalam.
DBKL menerusi Jabatan Penguatkuasaan melaksanakan tindakan tersebut bersama Pejabat Cawangan Seputeh di Jalan 1/152 OUG Parklane, Jalan 3/155 dan Jalan 6/155 Bukit OUG.
Menurut DBKL, melalui tindakan khas yang dijalankan, DBKL membuat 11 kes sitaan dan pindah halangan menerusi peruntukan di bawah Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.
“Antara barangan yang disita adalah meja, kerusi plastik, kanopi, stall burger, payung dan lain-lain peralatan.
“Barangan dan peralatan yang disita, dihantar ke Stor Sitaan DBKL Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk dokumentasi dan tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Tambahnya, tindakan dan pemantauan berterusan akan dijalankan menerusi siri-siri tindakan khas di 11 parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. – WILAYAHKU