DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan 12 kes sitaan dan pindah halangan terhadap penjaja warga asing dan penjaja tanpa lesen di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman off Jalan Haji Taib dan Jalan Raja Alang pada Jumaat lepas.
DBKL berkata tindakan khas tersebut dilaksanakan DBKL menerusi Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan, Pejabat Cawangan Bukit Bintang, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Melalui tindakan khas yang dijalankan, DBKL membuat 12 kes sitaan dan pindah halangan serta mengeluarkan tiga notis kompaun menerusi peruntukan di bawah UUK 3(1) Undang Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016 atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen sah dari DBKL.
“Antara barangan yang disita adalah pakaian, stall beroda, rak penyidai baju, payung dan lain-lain peralatan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Tambahnya, Barangan dan peralatan yang disita, dihantar ke Stor Sitaan DBKL Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk dokumentasi dan tindakan selanjutnya.
DBKL menegaskan tindakan dan pemantauan berterusan akan dijalankan menerusi siri-siri tindakan khas di 11 parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. – WILAYAHKU.