Berita

DBKL komited tangani segera isu dihadapi penjaja

MAHADI Che Ngah mendengar permasalahan yang dihadapi oleh para peniaga di Pusat Penjaja D'Laman Rasa, pekan Sg. Besi. MAHADI Che Ngah mendengar permasalahan yang dihadapi oleh para peniaga di Pusat Penjaja D'Laman Rasa, pekan Sg. Besi.
- Diterbit 21 Mac 2022 3:18 AM MYT

PERMASALAHAN dihadapi lebih 60 peniaga di pusat penjaja D’Laman Rasa, Pekan Sungai Besi di sini akan diberikan perhatian wajar oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk diselesai dalam tempoh masa terdekat.

Perkara tersebut dinyatakan sendiri Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah yang mahukan aduan mengenai kerosakan struktur dan kemudahan asas dihadapi oleh para peniaga ditangani sebaik mungkin memastikan kebajikan serta keselesaan peniaga terpelihara.

Beliau berkata, masalah bekalan air bersih tidak mencukupi untuk menampung kegunaan semua premis yang beroperasi akan diselesaikan segera dengan menambah empat hingga lima tangki air simpanan selain meningkatkan kekerapan isian semula air oleh pihak penyedia bekalan.

“Bekalan air bersih mencukupi adalah keperluan bagi para peniaga untuk mudahkan operasi dan keselesaan pelanggan. Jadi, saya mahu tangki air ditambah, diisi lebih kerap kerana agak malang bagi peniaga terjejas memulakan perniagaan dan menjana pendapatan.

“Selain itu, bekalan elektrik yang masih lagi tidak mampu menampung kegunaan premis peniaga akan ditambah baik dengan melantik wireman bagi meningkatkan kapasiti bekalan elektrik yang mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir dalam sesi pertemuan bersama Wakil Badan Bertindak dan Persatuan Penjaja Sungai Besi di Pusat Penjaja D’Laman Rasa, semalam.

Selain penjaja, sesi diskusi berlangsung lebih 30 minit itu turut dihadiri Pengerusi MPPWP Sub Zon 5 dan Sub Zon 6 Bandar Tun Razak, Farouk Mohd Noor dan Norazman Salahuddin.

Dalam sesi tersebut, Mahadi turut mengarahkan Jabatan Pelaksanaan Projek & Penyelenggaraan Bangunan DBKL untuk segera mengenal pasti dan melantik kontraktor berkelayakan bagi membaik pulih kerosakan bumbung selain menambah sisi awning untuk menghalang tempias air hujan.

Katanya, setiap kerosakan dan kecacatan infra di pusat penjaja terbabit akan segera diperbaiki dan menggunakan peruntukan dalaman DBKL untuk memastikan kelancaran operasi para peniaga.

“Sebolehnya setiap kerosakan dan masalah yang dialami di pusat penjaja ini akan dapat disiapkan sepenuhnya di dalam tempoh selewat-lewatnya seminggu menjelang Ramadan.

“Perkara ini harus diberikan keutamaan kerana ini keperluan para peniaga mencari rezeki dan DBKL akan pastikan setiap aduan serta permasalahan berbangkit dapat kita selesaikan demi kebajikan mereka yang terbabit,” ujarnya.

Sementara itu, Mahadi turut mengarahkan satu sesi mesyuarat diadakan segera berhubung isu kesesakan teruk di pekan Sungai Besi berikutan projek pembangunan yang sedang berjalan serta mahukan setiap pihak termasuk pemaju projek dan kontraktor terbabit kemukakan cadangan solusi mengenainya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas