Berita

DBKL kenal pasti lokasi baharu pindah rumah ibadat

- Diterbit 20 Mac 2025 10:00 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengenal pasti lokasi baharu bagi pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, susulan cadangan pembinaan sebuah masjid di atas tanah milik syarikat swasta.

Katanya, langkah ini diambil bagi memastikan penganut Hindu dapat terus menjalankan aktiviti keagamaan dengan selesa dan harmoni.

Menurut DBKL, pemindahan rumah ibadat itu akan dilakukan secara telus dan adil dengan perbincangan bersama pihak berkepentingan bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya.

“Pihak berkuasa tempatan itu juga memberi jaminan bahawa tiada sebarang aktiviti perobohan akan dilakukan di tapak sedia ada dan kuil berkenaan boleh terus beroperasi sehingga proses pemindahan selesai.

“DBKL selaku pihak yang diamanahkan oleh kerajaan telah mengambil langkah proaktif untuk membantu mencari jalan terbaik buat semua pihak yang terlibat, sekali gus mengelakkan diskriminasi terhadap mana-mana kaum,” menurut kenyataan hari ini.

DBKL menegaskan bahawa projek tersebut merupakan cadangan oleh syarikat swasta berkenaan selaku pemilik tanah yang sah dan bukan daripada pihak kerajaa.

Tegas DBKL, setiap tindakan yang diambil adalah selaras dengan prinsip kebebasan beragama yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“DBKL juga menghargai kerjasama daripada semua pihak untuk memastikan proses pemindahan berjalan lancar serta menyeru agar keharmonian dan sikap saling menghormati kepelbagaian agama terus dikekalkan di negara ini.

Semalam bekas presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk Ambiga Sreenevasan dan kumpulan hak asasi manusia, Lawyers for Liberty (LFL) dijadual mengadakan sidang media berhubung rancangan perobohan sebuah kuil Hindu yang bersejarah bagi memberi laluan kepada pembinaan masjid.

Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman, terletak di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, dilaporkan berusia 130 tahun dan mendakwa DBKL memberikan kebenaran merancang kepada sebuah syarikat swasta untuk membina masjid di tapak kuil itu.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas