Berita

DBKL keluar 8 notis kompaun kepada kontraktor langgar SOP

Kredit: DBKL
- Diterbit 10 Jun 2024 11:43 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur mengeluarkan sebanyak lapan notis kompaun terhadap kontraktor yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerja-kerja korekan jalan dalam satu Operasi Tindakan Khas Kerja Korekan Jalan Awam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) Siri 7.

DBKL melalui Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran, Jabatan Perancangan Infrastruktur, Jabatan Pengangkutan Bandar dan Jabatan Integriti melaksanakan operasi tersebut yang bermula pukul 10.00 malam, Jumaat lepas di kawasan Jalan Dutamas 2, Jalan Kepong Lama, Jalan 34/26, Wangsa Maju, Jalan Tasik Selatan 31 dan Jalan Tasik Selatan 21, WPKL.

DBKL dalam satu kenyataan di Facebook berkata, menerusi pemeriksaan pematuhan SOP dan tindakan penguatkuasaan ke atas mana-mana individu atau kontraktor yang melanggar garis panduan bagi menjalankan apa-apa aktiviti melibatkan kerja-kerja korekan jalan.

Menurut DBKL, antaranya seperti melakukan kerja-kerja pembaikan melebihi waktu yang ditetapkan, tidak meletakkan papan tanda isyarat lalu lintas, menutup jalan tanpa kebenaran, melonggokkan sisa di atas jalan awam serta tidak mengutamakan kebersihan dan keselamatan di atas jalan awam.

“Hasil daripada pemeriksaan di lima buah lokasi yang berbeza di sekitar WPKL, DBKL telah mengesan beberapa kesalahan yang melanggar SOP kerja-kerja korekan jalan dan telah mengeluarkan sebanyak lapan notis kesalahan am terhadap kontraktor.

“Tindakan penguatkuasaan dilakukan menerusi kesalahan di bawah Akta Jalan Parit Dan Bangunan 1974 (tujuh notis) dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (satu notis),” katanya.

DBKL menegaskan, tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari masa ke semasa di 11 parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas