DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS) telah mengeluarkan 30 kompaun dalam Operaso Anti Litter di sekitar kawasan komersial di Jalan Berangan, Bukit Bintang.
Menurut DBKL, antara kesalahan yang dikesan adalah seperti meletakkan barang perniagaan di tempat awam tanpa kebenaran, membuang sampah di tempat awam dan longkang, serta menghalang longkang dengan sisa dan barang hingga menjejaskan aliran air.
“Sebanyak 10 kompaun dikeluarkan di bawah Seksyen 46(1)(d), tujuh kompaun di bawah Seksyen 47(1)(d), 11 kompaun di bawah Seksyen 47(1)(a), dan dua kompaun di bawah Seksyen 46(1)(b).
“Kesemua seksyen ini adalah di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.
DBKL turut mengingatkan kepada pemilik premis supaya mengambil berat tahap kebersihan di premis masing-masing berkutan ia melambangkan imej perniagaan mereka.
“Ambillah tanggungjawab ini dengan serius. Jangan biarkan sikap sambil lewa membawa kesan negatif kepada perniagaan anda dan imej bandar ini,” katanya.-WILAYAHKU