Berita

DBKL‚ JIM terus banteras warga asing

TINDAKAN agresif DBKL dan JIM dapat menghapuskan aktiviti penjajaan haram yang dilakukan warga asing.
- Diterbit 20 April 2025 10:00 AM MYT
DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Jabatan Imigresen (JIM) menggempur aktiviti penjajaan haram melibatkan warga asing dalam operasi bersepadu di Lorong Haji Taib 4, Chow Kit dan Jalan Berangan, Bukit Bintang, pada Selasa.

Operasi berkenaan dijalankan hasil risikan serta pemantauan rapi oleh pasukan penguat kuasa yang mengenal pasti kegiatan perniagaan tanpa lesen oleh warga asing di kawasan tumpuan pelancong dan penduduk setempat itu.

DBKL memaklumkan sebanyak 15 kes sitaan dilaksanakan serta-merta di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Perlesenan Penjaja (WPKL) 2016, membabitkan 13 penjaja warga asing dan dua lagi penjaja tempatan.

DBKL turut mengeluarkan dua notis tawaran kompaun terhadap pemilik premis yang dikesan menggajikan warga asing tanpa kebenaran sah, mengikut UUK Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016.

Sementara itu, Jabatan Imigresen menahan 41 individu warga asing terdiri daripada 30 lelaki dan 11 wanita untuk tindakan lanjut berhubung dokumentasi dan pengesahan status di Ibu Pejabat Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Semua barangan perniagaan yang disita dalam operasi itu telah dibawa ke Setor Sitaan DBKL di Jalan Lombong, Taman Miharja, Cheras untuk tujuan dokumentasi dan rekod.

Menurut DBKL pihaknya akan meneruskan tindakan penguatkuasaan secara berkala di lokasi-lokasi yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ aktiviti penjajaan haram warga asing.

Orang ramai disarankan untuk menyalurkan aduan dan maklumat melalui portal rasmi DBKL di pautan https://adukl.dbkl.gov.my. – WILAYAHKU
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas