DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menganjurkan Majlis Media Night 2024 bagi menghargai peranan media dalam melaporkan mengenai pembangunan dan dasar-dasarnya kepada warga kota.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri PMgr Sr Kamarulzaman Mat Salleh berkata menerusi laporan berita yang tepat kepada warga kota telah mengangkat DBKL sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mampu menguruskan pembangunan fizikal dan kesejahteraan warga kota.
“Perlu diakui, pihak media memainkan peranan yang penting dan memberi sumbangan kepada proses membina negara. Namun saya percaya dalam mencari sensasi dan viraliti, etika kewartawanan yang berpaksi kepada kebenaran dengan nilai jujur dan saksama dalam membuat pelaporan perlu dipegang teguh.
“DBKL sentiasa berusaha untuk berasimilasi dengan pihak media menerusi saluran media tradisional, media elektronik, media sosial termasuk portal media.
“Menerusi pemantauan media yang dilaksanakan oleh DBKL pada setiap hari, segala ulasan dan isu yang dibangkitkan oleh rakan-rakan media mengenai DBKL secara khususnya sentiasa diikuti, diperhalusi dan seterusnya diatur tindakan susulan oleh DBKL termasuk perancangan bagi memastikan soal berbangkit ditangani sewajarnya dan dalam tempoh sesegera mungkin,” katanya ketika berucap pada Majlis Media Night 2024 pada Rabu.
Dalam masa sama, beliau berkata pihak DBKL juga memahami akan kehendak dan keperluan pengamal media dalam mendapatkan berita.
“Media merupakan medium komunikasi yang penting dalam membentuk persepsi dan naratif terhadap DBKL. Pihak media menjadi penghubung yang membolehkan DBKL berkongsi kisah mengenai inisiatif dan usaha yang dilaksanakan oleh DBKL dalam mentadbir dan membangunkan ibu negara Malaysia ini.
“Sehubungan itu, hantaran-hantaran kandungan mengenai usaha dan inisiatif termasuk tindakan-tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh DBKL dimuat naik secara konsisten di pelbagai platform media sosial rasmi DBKL yang boleh dijadikan rujukan utama oleh rakan-rakan media dalam mendapatkan sumber rujukan dan maklumat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata DBKL sentiasa berusaha untuk menangani persepsi negatif dan salah faham dalam mengendalikan isu-isu kritikal berkaitan perancangan bandar, kebersihan, kesihatan, penguatkuasaan, penyediaan infrastruktur termasuk pembangunan sosioekonomi.
“DBKL sebagai pentadbir Kuala Lumpur akan sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada warga kota.
“Saya sentiasa berharap agar rakan-rakan media akan senada dengan DBKL, melihat isu dari mata si burung dan bukannya dari bawah tempurung. Banyak pihak berkepentingan yang perlu didengari dan pada masa yang sama, ada ramai rakan kongsi yang turut memikul tanggungjawab mentadbir bandar raya ini.
“DBKL juga sentiasa terbuka dalam menerima segala kritikan, komen, pandangan atau teguran yang boleh dijadikan sandaran dalam menambah baik perkhidmatan yang diberikan,” ujarnya. – WILAYAHKU