Berita

DBKL guna kaedah hampir sama pengurusan Zon Kawalan Parkir London

MENURUT Zaliha, pihaknya menerima berita baik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai permohonan menambah baik perkhidmatan di Hospital Labuan
- Diterbit 19 Februari 2025 9:30 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggunakan asas yang hampir sama dalam kaedah pengurusan petak Tempat Letak Kereta (TLK) sama seperti Zon Kawalan Parkir di bandar raya London.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata DBKL menggunakan kadar caj yang berbeza di zon pusat bandar dan zon luar pusat bandar.

“Selain itu, DBKL turut menyediakan petak khas berbayar di kawasan tertentu dan juga mengeluarkan pas bulanan bagi kemudahan kepada pengguna petak TLK,” katanya.

Zaliha berkata demikian ketika menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang bertanyakan sama ada Kerajaan bercadang untuk memperkenalkan sistem Zon Kawalan Parkir (ZKP) seperti di London, khususnya bagi kawasan perumahan di Kuala Lumpur yang sering menghadapi masalah kekurangan tempat letak kereta pada sesi jawapan lisan yang tertera di laman web parlimen hari ini.

Zaliha berkata DBKL menjalankan pengurusan TLK bahu jalan
berdasarkan Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak
Kereta) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2016. Melalui Perintah ini,
peraturan berkaitan pengurusan, penggunaan, penguatkuasaan dan caj
bayaran TLK telah ditetapkan seperti berikut;-

“Terdapat tiga Zon yang dikategorikan di dalam kawasan Kuala
Lumpur iaitu Zon A (Pusat Bandar), Zon B (Luar Pusat Bandar
Beraktiviti Tinggi) dan Zon C ( Luar Pusat Bandar);

“Kadar caj bayaran yang dikenakan bagi Zon A adalah RM1.50 sejam
pertama dan RM2.50 jam berikutnya. Manakala bagi Zon B adalah
RM 1.00 sejam dan Zon C adalah RM0.80 sejam; dan

“Waktu operasi bayaran caj parkir bahu jalan ini adalah bermula dari jam 7.30 pagi hingga 6.00 petang iaitu dari hari Isnin hingga Sabtu tidak termasuk pada hari Ahad dan hari kelepasan am,” katanya.

Beliau berkata DBKL juga telah melaksanakan kaedah caj bayaran TLK bahu jalan ini secara dalam talian / tanpa tunai (cashless) di mana pengguna boleh menjelaskan caj bayaran TLK ini melalui aplikasi telefon pintar dan e-wallet terpilih.

“DBKL juga tidak mengenakan caj bayaran TLK di kawasan perumahan yang tidak mempunyai sebarang aktiviti komersial. Petak TLK di kawasan perumahan ditanda dengan warna putih untuk membezakan petak TLK yang dikenakan caj yang berwarna kuning,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas