Berita

DBKL giat operasi

SEKITAR operasi yang melibatkan premis hiburan baru-baru ini.
- Diterbit 20 September 2024 10:30 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus komited dalam memastikan ibu kota sentiasa selesa didiami dan setiap perniagaan yang dijalankan adalah berlandaskan undang-undang yang telah ditetapkan.

Justeru DBKL melalui Jabatan Penguatkuasaan bersama Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melaksanakan Operasi Bersepadu (Premis Berisiko).

DBKL berkata operasi yang dijalankan di sekitar Parlimen Bandar Tun Razak dan Segambut itu melibatkan premis yang mengadakan aktiviti hiburan, menggajikan warga asing tanpa permit sah, menjalankan aktiviti selain yang dilesenkan serta kesalahan-kesalahan lain.

“Hasil daripada risikan dan siasatan yang dijalankan di sekitar kawasan tersebut, sebanyak lima buah premis perniagaan telah dikenal pasti dan diambil tindakan penguatkuasaan.

“Sebanyak sembilan notis kompaun telah dikeluarkan di bawah UUK Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016, tiga Notis Pemberitahuan Tentang Kesalahan dan satu premis telah dikenakan tindakan tutup serta-merta di bawah Akta Hiburan (WPKL) 1992,” katanya menerusi satu hantaran di laman rasminya.

Tambahnya, pihak PDRM juga telah melakukan tangkapan terhadap lima orang individu yang dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

“Pihak DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti. Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di pautan tertera seperti berikut https://adukl.dbkl.gov.my/,” ujarnya.

Dalam pada itu, DBKL turut mengenakan tindakan kompaun dan sitaan terhadap premis warga asing di Parlimen Titiwangsa.

“Melalui tindakan khas yang dijalankan, DBKL telah menutup dua buah premis dan mengeluarkan 14 notis kompaun menerusi peruntukan di bawah UUK 3(1) Undang Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016 atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen sah dari DBKL dan UUK 22(1)(b) serta lima kes sitaan di bawah Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan Parit Bangunan 1974,” ujarnya.

Jelasnya, tindakan khas tersebut dijalankan oleh DBKL menerusi Jabatan Penguatkuasaan dan Pejabat Cawangan Titiwangsa.

“Tindakan dan pemantauan berterusan akan dijalankan menerusi siri-siri tindakan khas di 11 parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas