Berita

DBKL giat operasi

Foto: DBKL
- Diterbit 9 Ogos 2024 10:40 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)  melaksanakan Operasi Bersepadu (Operasi Roboh Struktur Tambahan atas rezab jalan awam) pada Sabtu lalu.

DBKL menerusi hantaran di Facebooknya berkata operasi tersebut adalah melalui Jabatan Penguatkuasaan bersama Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar serta Pejabat Cawangan Bukit Bintang, Lembah Pantai, Batu, Segambut, Bandar Tun Razak dan Cheras.

“Beberapa agensi sahabat lain juga turut terlibat seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS). Operasi dijalankan di sekitar Jalan Sultan, Lorong Sultan, Jalan Tan Cheng Lock dan Jalan Hang Lekir.

“Kesemua sisa struktur telah dilupuskan oleh DBKL selepas tamat operasi yang dijalankan,” katanya.

Sementara itu, pada Jumaat lalu, DBKL telah menutup sebanyak lima pusat pelacuran serta dua pusat hiburan menerusi Operasi Tindakan Khas (Operasi Pusat Pelacuran dan Pusat Hiburan) di sekitar Wilayah Persekutuan.

“Tindakan tutup serta-merta itu di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Hiburan (WPKL) 1992.

“Selain itu, sebanyak enam Notis Kompaun di bawah UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 dan UUK Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016, lima Notis Penguatkuasaan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta tiga Notis Pemberitahuan Tentang Kesalahan di bawah Akta Hiburan (WPKL) 1992 telah dikeluarkan.

“DBKL turut meroboh struktur dalaman yang didirikan tanpa mendapat kelulusan (Pusat Pelacuran) dan menyita segala barangan yang berkaitan,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas