DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur telah melaksanakan tindakan penguatkuasaan ke atas warga asing di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur hari ini.
Dalam satu hantaran di laman Facebook, DBKL berkata tindakna tersebut dilaksanakan menerusi Jabatan Penguatkuasaan bersama-sama Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar.
“Menerusi tindakan itu, tujuh tindakan sita telah dilaksanakan ke atas warga asing yang menjalankan perniagaan dibawah peruntukan UUK 3, Undang-undang Kecil Perlesenan Penjaja (WPKL) 2016.
“DBKL juga turut melaksanakan satu tindakan pindah halangan ke atas peniaga yang membuat halangan di tempat awam di bawah seksyen 46(1)(d), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 di Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara,” katanya hari ini.
Menurut kenyataan itu, DBKL turut mengeluarkan enam notis kompaun di bawah UUK Perlesenan Tred Perniagaan & Perindustrian (WPKL) 2016 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 berserta 1 notis penguatkuasaan di bawah Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1982.
“Kesemua barangan yang disita dan dipindah halangan telah dibawa ke Setor Sitaan DBKL Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk tindakan rekod dan dokumentasi,” katanya.
Tambahnya tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari masa ke semasa dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain selepas ini. – WILAYAHKU