PERANCANGAN Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi pengurusan Tempat Letak Kenderaan (TLK) untuk masa akan datang adalah dengan memfokuskan kepada penyediaan TLK secara integrasi di kawasan Pusat Bandar Raya Kuala Lumpur seperti yang terkandung di dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040)
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustaffa berkata pendekatan pembangunan semula juga akan digunakan di kawasan yang telah dikenal pasti sebagai zon Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD).
“Walau bagaimanapun, antara langkahlangkah yang perlu diambil kira di dalam mengurus TLK integrasi ini adalah dengan melengkapkan laluan pejalan kaki yang dihubungkan dengan stesen transit bagi kawasan pembangunan semula bandar yang terletak di sekitar kawasan zon TOD;
“Pengurangan keperluan penyediaan TLK bagi pembangunan dalam zon TOD dan secara berkala bagi kawasan yang telah lengkap kemudahan prasarana pengangkutan awam khususnya di Pusat Bandar Raya Kuala Lumpur. Ini adalah bertujuan untuk mencapai pisah ragam 70:30 menjelang tahun 2040;
“Penyediaan TLK dalam bangunan atau hentian dan jalan (Park & Ride) disediakan di sekitar stesen transit di luar Pusat Bandar Raya Kuala Lumpur atau di kawasan yang sesuai; dan
“Menggalakkan sistem TLK pintar yang inovatif bagi mengurangkan penggunaan ruang dalam bandar seperti TLK mekanikal dan TLK bertingkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) di Dewan Rakyat pada Selasa.
Menjelas lanjut, Zaliha berkata DBKL dari semasa ke semasa sentiasa memperhalusi cadangan yang berpotensi menyelesaikan masalah kesesakan dan parkir kenderaan akibat daripada projek pembangunan yang diluluskan dan akan dibina dalam tempoh tujuh tahun akan datang.
“Setiap permohonan cadangan pembangunan akan dipastikan mematuhi keperluan TLK yang mencukupi mengikut jenis pembangunan berdasarkan kadar yang ditetapkan dalam Garis Panduan Perancangan Tempat Letak Kenderaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Edisi 2021),” katanya.
Tambah beliau, secara umumnya, isu kekurangan parkir juga sebenarnya berpunca daripada faktor pemilikan kenderaan persendirian daripada individu yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan, dan perkara ini adalah di luar kawalan DBKL. – WILAYAHKU