DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini mengedarkan sebanyak 32,500 bendera jalur gemilang pelbagai saiz sempena hari kemerdekaan tahun ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh berkata ia juga diedarkan bersempena Kempen Kibar Jalur Gemilang 2023 yang berlangsung sejak 31 Julai lalu.
“Bendera tersebut diberikan kepada wakil agensi kerajaan, sekolah, institusi pengajian tinggi, badan bukan kerajaan (NGO), Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) serta Persatuan Penjaja dan Peniaga.
“Selain itu, kita turut berikan kepada lima pemandu teksi, 15 penghantar makanan termasuk pemandu-pemandu kenderaan milik DBKL,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Menara DBKL 1.
Beliau berkata, kibaran Jalur Gemilang ini secara langsung menzahirkan rasa cinta terhadap negara tidak kira pada individu atau organisasi.
“Sebagai warganegara, kita seharusnya berasa bertuah menjadi sebahagian daripada rakyat Malaysia.
“Saya berharap agar usaha kecil kita ini akan dapat menanamkan semangat kemerdekaan dan jati diri yang kita cuba semaikan dalam kalangan warga kota,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan DBKL juga mengambil inisiatif memasang 3,000 gegantung Jalur Gemilang di jalan-jalan utama di sekitar bandar raya Kuala Lumpur.
“DBKL juga mempamerkan mesej sambutan Hari Kebangsan dan Hari Malaysia di skrin light-emitting diode (LED) di Menara DBKL, Dataran Merdeka, led pihak swasta dan di paparan variable message signboards (VMS) sekitar ibu kota,” ujar beliau pelbagai program menarik turut diadakan sepanjang sambutan kemerdekaan. -WILAYAHKU