DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diingatkan agar tidak melengahkan sebarang pelaksanaan projek pembangunan di Kuala Lumpur yang sudah diluluskan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tegas beliau, tindakan tersebut akan memberi kesan dan kesukaran kepada pelbagai pihak, apatah lagi jika ia membabitkan kepentingan pelabur dan masyarakat.
“Tahap kecekapan pegawai penjawat awam harus dipertingkat bagi mempercepatkan pelaksanaan sesuatu projek atau perancangan.
“Ia bagi memastikan peraturan yang ada diikuti namun pelaksanaan mengikut masa yang ditetapkan dapat menjayakan matlamat yang telah ditetapkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.
Jelas Perdana Menteri, pihaknya telah memutuskan perkara itu bagi memudahkan pembangunan sesebuah projek yang sekali gus dapat memacu ekonomi negara.
“Betul kita runding kita teliti, tetapi seperti biasa ada masalah sekiranya kita lewat meluluskan.
“Dan ada pandangan yang bukan setakat Kuala Lumpur tetapi seluruh negara yang disebut ease of doing business, kepantasan atau kecepatan meluluskan, setelah mengambil kira semua peraturan yang diteliti, dicerakin sebelum keputusan dibuat.
“Kalau tidak, nanti pihak pengurusan tangguh sampai tahun depan kerana katanya bulan Disember ini bulan yang separuhnya cuti. Cuti-cuti juga, tapi dalam Disember itu mesti ada laporan berkala,” katanya. – WILAYAHKU