DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diberikan tempoh empat bulan sehingga Ogos ini untuk melaksanakan proses pemutihan secara menyeluruh ke atas penjaja tidak berlesen di ibu negara sebagai sebahagian daripada pelaksanaan inisiatif Lestari Niaga.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, usaha itu penting bagi memastikan sistem perniagaan mikro di Kuala Lumpur kekal tertib, adil dan berlandaskan peraturan yang jelas.
“Ini adalah ruang pembetulan, bukan pengampunan mutlak. Kita beri peluang untuk mereka tampil, daftar dan ikut proses. Tapi selepas tempoh ini, tindakan tegas akan diambil,” tegas beliau ketika berucap dalam Program Semarak Aidilfitri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Dataran DBKL hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Seri Noridah Abdul Rahim, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk TPr Fadlun Mak Ujud dan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Labuan (PL) Sukuran Taib.
Beliau menegaskan bahawa meskipun ruang diberikan kepada penjaja, DBKL tetap perlu menilai keseluruhan ekosistem perniagaan termasuk aspek kesesuaian lokasi dan jenis perniagaan sebelum lesen boleh diberikan.
Mengulas lanjut, Zaliha menyifatkan reformasi pengurusan bazar Ramadan dan Aidilfitri yang dijalankan tahun ini tanpa penglibatan orang tengah sebagai satu kejayaan yang sekali gus mengurangkan manipulasi kadar tapak dan membela hak peniaga kecil yang sebelum ini terbeban dengan bayaran melalui pihak ketiga.
“Kita tidak boleh membenarkan sistem bandar ini ditadbir oleh hukum ‘siapa kuat dia menang’. Jika ada penjaja yang patuh dan membayar sewa serta ikut undang-undang, kenapa kita biarkan yang lain bebas tanpa lesen?” katanya.
Beliau turut mengecam tindakan provokatif terhadap pegawai penguat kuasa DBKL dan menyeru semua pihak untuk tidak mempolitikkan isu penguatkuasaan sehingga mengancam keselamatan pegawai yang menjalankan tugas.
Program Semarak Aidilfitri itu turut menyaksikan agihan zakat berjumlah RM200,000 kepada 1,000 penerima asnaf termasuk anak yatim, pelajar tahfiz dan golongan memerlukan di sekitar Kuala Lumpur, hasil kerjasama strategik antara DBKL dan MAIWP.-WILAYAHKU