DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjaya merangkul lima pingat emas, lapan pingat perak dan 14 pingat gangsa dalam Kejuaraan Silat Terbuka Piala Lagenda Jebat 294 (Edisi 1) baru-baru ini.
Kejayaan tersebut sekali gus menobatkan pasukan DBKL sebagai penerima Anugerah Khas Pasukan Terbaik dalam kejuaraan silat terbuka itu.
Berkongsi lanjut, DBKL berkata kejuaraan silat itu juga menyaksikan Pesilat Terbaik Pra Dini Putra dimenangi oleh Muhammad Ash Raid Muhammad yang mewakili Semboyan Warrior A manakala Pesilat Terbaik Putri dimenangi oleh Nur Iman Zahra Jamaluddin daripada Pusaka Gayong A.
“Bagi kategori Dini Putra, ia dimenangi oleh Muhammad Daris Hakim dari MBSA-RJ Silat Akademi Team A manakala Putri dimenangi oleh Siti Rania Mohd Syahrizan dari Pusaja Gayong A.
“Kategori Remaja Putra pula menyaksikan Wan Zulkhairiryl Khairiemiey Wan Zulkifli daripada Kelab Silat Olahraga Wongser Warrior 294 muncul pesilat terbaik dalam kategori tersebut manakala Putri dimenangi Nurul Delimasari Akasya Sham Radzi dari SSJF.
“Selain itu, kategori Dewasa Putra pula dimenangi oleh Saiful Azhar Shaifulnizam dari Terengganu A manakala Pesilat Terbaik Putri dimenangi oleh Riezlynn Edelya Edtasha Ahmad Rozi dari MSN Sabah,” jelas DBKL.
Menurut DBKL, pasukan Pusaka Gayong A telah dinobatkan sebagai Juara Silat Seni Berkumpulan selain pasukan Semboyan Malaysia dianugerahkan Anugerah Khas Komitmen pada kejuaraan tersebut.
Terdahulu, penyampaian pingat kemenangan itu disampaikan oleh Presiden Pesaka Malaysia, Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin.
Kejuaraan Silat Terbuka itu juga merupakan inisiatif Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL dengan kerjasama Pertubuhan Wong Ser Warrior 294, Pertubuhan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) dan Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia yang bertujuan untuk memartabatkan seni silat khususnya di Kuala Lumpur. – WILAYAHKU