Berita

DBKL bertindak roboh gerai haram

SEKITAR operasi roboh struktur yang dilaksanakan oleh DBKL.
- Diterbit 23 Oktober 2024 10:32 AM MYT

BEBERAPA buah gerai di Parlimen Bandar Tun Razak dirobohkan selepas mendapati premis tersebut dibina tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata menerusi Jabatan Penguatkuasaan, Pejabat Cawangan Bandar Tun Razak serta Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal menjalankan tindakan roboh struktur tempat cuci kereta dan gerai haram di sekitar Jalan 2/154 Taman Bukit Anggerik dan Jalan 40/154 Taman Dahlia.

“Melalui tindakan khas yang dijalankan, DBKL melaksanakan empat tindakan roboh strukur membabitkan struktur car wash dan gerai haram yang dibina tanpa kebenaran DBKL menerusi peruntukan Seksyen 46 Akta Jalan Parit Bangunan 1974 menimbulkan halangan di tempat atau laluan awam.

“Struktur perniagaan yang dibina tanpa kelulusan telah dikenal pasti sebagai punca gangguan lalu lintas, pencemaran dan masalah keselamatan,” katanya menerusi satu hantaran di laman rasminya baru-baru ini.

Tambahnya, tindakan ini selaras dengan komitmen DBKL dalam memastikan bandar Kuala Lumpur kekal teratur, selesa dan selamat untuk semua.

Dalam perkembangan lain, DBKL turut melaksanakan tindakan khas terhadap penjaja warga asing yang menjalankan perniagaan (berdasarkan video tular di media sosial) di sekitar Jalan Thambipillay, Brickfields pada 9 Oktober 2024.

“Dalam operasi tersebut, sebanyak dua tindakan sita telah dilaksanakan ke atas semua barangan perniagaan yang digunakan oleh warga asing tersebut. Walau bagaimanapun, warga asing tersebut berjaya melarikan diri.

“Tindakan diambil di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974. Pengesyoran pembatalan lesen perniagaan juga telah dipanjangkan ke Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan untuk tindakan selanjutnya,” katanya operasi tersebut dijalankan oleh DBKL melalui Jabatan Penguatkuasaan bersama Pejabat Cawangan Bukit Bintang.

Kesemua barangan yang diambil tindakan telah dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, Kuala Lumpur.

“Pihak DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan. Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di pautan https://adukl.dbkl.gov.my/.

“Siasatan dan pemantauan berterusan akan dijalankan menerusi siri-siri tindakan khas di 11 parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas