SEBARANG inisiatif pencalonan kampung tradisi Kuala Lumpur sebagai Tapak Warisan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) memerlukan kajian mendalam melibatkan kriteria teknikal dan impak sosial bagi memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh UNESCO.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, fokus utama kerajaan ketika ini adalah untuk memastikan pelaksanaan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) dapat diterjemahkan dengan baik menerusi perancangan pembangunan dan usaha penaiktarafan kampung-kampung di Kuala Lumpur secara berterusan.
“Buat masa ini masih belum ada sebarang kajian atau keputusan untuk mencalonkan mana-mana kampung di ibu negara sebagai Tapak Warisan UNESCO,” katanya.
Zaliha berkata demikian dalam sesi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau memberitahu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai pentadbir bandar raya masih belum mengenal pasti atau menjalankan kajian untuk mencalonkan mana-mana kampung tradisi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai Tapak Warisan UNESCO.
“PSKL2040 telah mengklasifikasikan sebanyak 37 buah kampung di Kuala Lumpur kepada tiga kategori utama iaitu Kampung Tradisi, Kampung Potensi Pembangunan dan Kampung Biasa.
“Kampung Tradisi merujuk kepada kawasan yang masih mengekalkan identiti perkampungan Melayu dan berpotensi diurus sebagai perkampungan dalam bandar.
“Perancangan bagi kawasan ini disokong dengan garis panduan reka bentuk, ketinggian bangunan dan persekitaran untuk mengekalkan warisan budaya,” katanya.
Zaliha berkata, Kampung Potensi Pembangunan telah ditetapkan sebagai zon pembangunan dengan kawalan tertentu bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan dan pemilikan aset oleh penduduk setempat.
“Manakala Kampung Biasa pula tertumpu kepada usaha menaik taraf infrastruktur serta mengindahkan persekitaran melalui elemen reka bentuk bandar dan landskap,” katanya.
Sehubungan itu, Zaliha berkata bahawa kerajaan akan terus memperkasakan perkampungan di ibu negara dengan perancangan pembangunan yang mampan, sambil memastikan nilai warisan dan kepentingan komuniti setempat terus terpelihara. – WILAYAHKU