Berita

DBKL bela nasib seniman jalanan

PERSEMBAHAN buskers di Bukit Bintang antara aktiviti seni yang berjaya mencuri tumpuan ramai.
- Diterbit 15 Julai 2023 3:00 AM MYT

KEHADIRAN seniman ­jalanan memeriahkan ­lokasi tumpuan di ­sekitar ibu ­kota pada ­waktu malam dilihat ­membawa impak ­positif ­membantu ­mempromosikan seni budaya Malaysia kepada pelancong tempatan mahupun antarabangsa.

Sehubungan itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) termasuk pengunjung ­mengiktiraf sumbangan komuniti ini yang ­terdiri daripada pemuzik, ­pelukis, badut dan lain-lain sebagai ­’duta pelancongan’ negara sekali gus ­dijenamakan sebagai KL Street Artist.

DBKL berkata ­pihaknya ­sememangnya ­mengiktiraf ­seniman jalanan yang telah ­memberi ­sumbangan penting dalam menghidupkan serta ­menyemarakkan aktiviti kesenian di Kuala Lumpur.

“Kita sedar bahawa kehadiran buskers misalnya bukan sekadar mewarnai ruang sekitar ibu ­kota dengan persembahan sebaliknya menjadi tunjang dalam peningkatan ekonomi dan pembangunan sektor pelancongan selain menjadi satu daya keunikan kepada ibu kota dan negara.

“Sekitar tahun 2010 hingga 2014, komuniti ini pernah dianggap sebagai pemuzik dan pengemis jalanan yang mana ketika itu ­mereka hanya curi-curi busking dan tidak mendapat sebarang permit lesen, perlindungan bahkan tiada langsung kebenaran untuk berhibur di jalanan.

“Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-10, Tan Sri Datuk Seri Ahmad Phesal Talib ­melihat ia ­sebagai salah satu tarikan dan ­keunikan pelancongan di Kuala Lumpur. Beliau ­mengeluarkan ­kebenaran untuk ­meneruskan ­kegiatan ini tetapi dengan pemantauan dan beberapa ­garis panduan yang perlu dipatuhi,” ­katanya kepada Wilayahku.

Menurutnya, antara ­langkah-langkah yang dijalankan oleh DBKL dalam membela ­nasib komuniti adalah menyediakan permit lesen serta kebenaran ­untuk menjalankan aktiviti busking di ­lokasi-lokasi yang disenaraikan oleh DBKL.

“Bagi mendapatkan permit ­tersebut mereka perlu ­menghadiri kursus Siri Bengkel Pemantapan Seniman Jalanan di mana pengisian programnya merangkumi taklimat oleh Jabatan-Jabatan DBKL, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Karyawan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Di sini, kita berikan ­penerangan mengenai peraturan dan ­garis panduan yang telah ditetapkan ­melalui Taklimat Undang-Undang/ Penguatkuasaan, Taklimat Penjagaan Alam Sekitar (kawalan ganggu kebisingan) dan Taklimat dari sudut pelancongan dan ­penampilan serta kerjaya termasuk taklimat berkaitan pembelajaran muzik bagi meningkatkan mutu persembahan.

“Selain itu, DBKL turut ­menyediakan tenaga profesional sebagai fasilitator bengkel ini ­bagi memantapkan persembahan agar ia setaraf dengan pengkarya seni yang ada di luar negara di samping mampu menjadi daya ­tarikan ­pelancongan dengan imej yang ­menarik dan bersesuaian,” jelasnya.

Tambahnya antara lokasi yang dibenarkan adalah ruang legar di hadapan McDonald’s Bukit Bintang, MRT Bukit Bintang, Dataran Sogo, Dataran Medan Pasar dan ­sebagainya dengan ketetapan ­masa berbeza-beza iaitu pukul 10 hingga 2 pagi, 6 petang hingga 12 malam dan 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.

Sementara itu, DBKL akan turut melaksanakan sistem ­jadual ­penggiliran terhadap ­kumpulan buskers bagi memastikan setiap kumpulan mendapat peluang persembahan di khalayak ramai.

“Jika tidak, akan ada yang mendominasi waktu dan lokasi ­berkenaan. Dalam masa yang ­sama, kita juga memberi pendedahan ­baharu kepada komuniti ­tersebut tentang kepentingan caruman perlindungan PERKESO di mana ia merupakan satu perkara ­penting dalam memastikan kebajikan dan keselamatan mereka terjamin,” ujarnya.

DBKL turut berharap ­aktiviti KL Street Artis yang diterajui oleh pengkarya Seni Persembahan Muzik (SPM) dan Seni Visual Kreatif (SVK) akan diterima baik oleh pelancong termasuk ­pihak-pihak kementerian supaya komuniti ini bukan ­sahaja dapat mempamerkan bakat dan menjana pendapatan semata-mata malah dapat membantu ­melonjakkan industri pelancongan negara di mata dunia. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas