DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengumumkan senarai lokasi bazar Ramadan yang dibenarkan bagi aktiviti busking dalam masa terdekat ini berdasarkan Garis Panduan KL Street Artist yang berkuat kuasa.
DBKL dalam satu kenyataan berkata pihaknya sentiasa menyokong para seniman jalanan atau busker untuk berkaray di bazar-bazar anjuran DBKL selari dengan garis panduan ditetapkan.
“Merujuk kepada isu yang tular baru-baru ini mengenai dakwaan seorang pemuzik bahawa DBKL tidak membenarkan beliau membuat persembahan di bazar Ramadan, pihak kami ingin menegaskan bahawa aktiviti busking dibenarkan di lokasi terpilih.
“Namun ia tertakluk kepada beberapa syarat seperti mempunyai permit sah daripada DBKL, persembahan mengikut lokasi ditetapkan dan penggunaan peralatan akustik sahaja dibenarkan bagi menjaga keselesaan pengunjung dan peniaga,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook DBKL.
Tambahnya DBKL juga sedang meneliti dan menyesuaikan syarat-syarat lain mengikut perkembangan ekosistem seni muzik yang dinamik bagi memastikan kesesuaian persembahan dengan situasi semasa.
“Kami menghargai bakat seni tempatan dan berharap inisiatif ini dapat memperkaya pengalaman seni di Kuala Lumpur sambil memastikan keseimbangan antara kepentingan peniaga, pengunjung dan para seniman jalanan,” katanya.
Sebelum ini, seorang seniman jalanan (busker) popular yang juga bekas pemain dram kumpulan Caliph Buskers, Fendy Adlun, 34, mendakwa beberapa kali dihalau daripada membuat persembahan di Bazar Ramadan.
Fendy yang mengadakan sesi busking di Bazar Ramadan Bandar Tun Razak mendakwa DBKL mengeluarkan larangan busker tidak boleh membuat persembahan di khemah oren. – WILAYAHKU