SELARAS dengan Pelan Struktur 2040 (PSKL 2040), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengadakan sesi Focus Group Discussion (FGD) bagi merangka Garis Panduan Perancangan Kemudahan Masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata garis panduan tersebut adalah ke arah Pembangunan Berintegrasi dan Bersepadu di Kuala Lumpur dengan penglibatan pelbagai agensi untuk mengemukakan isu dan cadangan yang berkaitan.
“Garis panduan ini adalah penting untuk memastikan kemudahan awam seperti sekolah, klinik dan taman sentiasa sejajar dengan pembangunan serta pertambahan populasi di bandar raya ini.
“Setelah selesainya garis panduan ini, setiap pembangunan baru perlu mematuhi garis panduan yang lebih tegas dan bersepadu, tanpa mengenepikan kepentingan serta keperluan penduduk
setempat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zaliha berkata ia susulan Majlis Menteri Wilayah Persekutuan yang bersidang buat kali ketiga tahun ini telah membincangkan sebanyak 18 isu berbangkit dengan fokus utama diberikan kepada kesejahteraan dan keharmonian penduduk di Kuala Lumpur.
“Salah satu isu utama yang dibangkitkan adalah berkaitan kepadatan penduduk yang semakin meningkat serta kekangan kapasiti kemudahan awam, khususnya sekolah yang berkemungkinan tidak mampu menampung pertambahan populasi Kuala Lumpur pada masa akan datang,” ujar beliau.
Tambahnya dalam mesyuarat tersebut, isu peruntukan DBKL kepada ahli parlimen untuk projek-projek kecil bagi manfaat rakyat turut dibangkitkan.
“Bagi tahun 2024, setiap pejabat cawangan DBKL telah menerima peruntukan antara RM300,000 hingga RM500,000 bagi melaksanakan pelbagai aktiviti pembangunan sosial dan menaik taraf infrastruktur awam seperti dewan, jalan raya, parit dan taman di sekitar Kuala Lumpur.
“Penekanan juga diberikan kepada keperluan untuk menambah baik kaedah penyaluran ini agar lebih strategik dan efektif.
“DBKL bertanggungjawab untuk memastikan setiap peruntukan digunakan secara optimum manakala laporan audit dan pemantauan berkala perlu dilaksanakan oleh DBKL untuk mengelakkan pembaziran dan memastikan keberkesanan pelaksanaan projek,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Zaliha berkata sebagai langkah susulan, DBKL diminta untuk menyegerakan pelaksanaan cadangan-cadangan yang dibincangkan serta melaporkan perkembangannya kepada pihaknya secara berkala.
“Kerjasama erat dan tindakan pantas daripada semua pihak adalah kunci bagi memastikan Kuala Lumpur terus membangun sebagai sebuah bandar raya yang sejahtera, mampan dan harmoni untuk penduduknya,” katanya. – WILAYAHKU