Berita

DBKL arah dua premis hiburan ditutup serta-merta

Foto: DBKL
- Diterbit 18 November 2024 12:16 PM MYT

DUA buah premis diarah tutup serta dalam satu operasi bersepadu atas kesalahan mengadakan aktiviti hiburan tanpa lesen.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu hantaran berkata operasi tersebut dilaksanakan hasil daripada risikan dan siasatan yang dijalankan di sekitar kawasan Titiwangsa.

“Dalam operasi bersepadu itu sebanyak lima buah premis perniagaan telah dikenalpasti dan diambil tindakan penguatkuasaan.

“Hasil daripada operasi tersebut, sebanyak dua buah premis telah dikenakan tindakan tutup serta-merta di bawah Akta Hiburan (WPKL) 1992 atas kesalahan mengadakan aktiviti hiburan tanpa lesen,”katanya hari ini.

Menurut DBKL, pihaknya telah mengeluarkan lima Notis Pemberitahuan Tentang Kesalahan, satu Notis Tawaran Kompaun serta lima tindakan sita telah dikenakan terhadap premis-premis tersebut atas pelbagai kesalahan yang telah dikenalpasti semasa operasi.

DBKL memaklumkan operasi yang dijalankan melalui Jabatan Penguatkuasaan bersama Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS) serta Pejabat Cawangan Titiwangsa melaksanakan Operasi Bersepadu terhadap premis yang mengadakan aktiviti hiburan di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Antara agensi lain yang turut serta dalam operasi tersebut adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK),”katanya.

Menurut DBKL, seramai 48 individu telah menjalani ujian saringan air kencing dan mendapati tiga individu positif dadah di bawah Akta Penagih Dadah 1983.

“Ketiga-tiga individu tersebut telah dibawa ke Ibu Pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan untuk tindakan selanjutnya.

“Selain itu seramai 59 individu telah diberi Surat Perintah Hadir Memberi Keterangan di bawah Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 oleh pihak JAWI,” katanya.

Ujar DBKL, pihak akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenalpasti.

“Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di pautan https://adukl.dbkl.gov.my/,”katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas