Berita

DBKL analisis keberkesanan pelan strategik

- Diterbit 6 Januari 2025 5:57 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan kajian separuh penggal terhadap semua Pelan Strategik yang telah dilancarkan sebelum ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata langkah itu diambil untuk menganalisis dan membuat kajian keberkesanan pelan-pelan strategik tersebut terhadap DBKL dan warga kota amnya.

“Kami ada banyak laporan yang disediakan oleh DBKL, oleh itu saya telah pun berbincang dengan rakan-rakan saya dan salah satu perkara untuk kami fokus kepada tadbir urus dan melalui satu program perdana yang dilancarkan adalah untuk membuat kajian separuh penggal Pelan Strategik DBKL.

“Menerusi kajian separuh penggal ini, ia bertujuan untuk mengenal pasti pelan-pelan strategik seperti Pelan Kuala Lumpur Low Carbon Society Blueprint 2030 dan Pelan Tindakan Iklim Kuala Lumpur 2050, salah satu pertanyaan saya, di manakah kedudukan kita sekarang?

“Adakah kita telah capai, atau tidak dan kalau tidak mencapai sasaran itu, bagaimanakah kaedah untuk kita capai sasaran tersebut, malah jika kita tidak boleh capai, kita perlu bertanya mengapa kita tidak boleh mencapai dan sebagainya kerana kita boleh bergerak ke hadapan,” katanya kepada media baru-baru ini.

Menjelas lanjut, Maimunah berkata, pihaknya akan fokus terhadap keutamaan yang dicapai menerusi sesi retreat pegawai-pegawai DBKL berkenaan dengan tadbir urus adalah untuk mengkaji separuh penggal pelan-pelan strategik DBKL yang telah dilancarkan sebelum ini.

“Dan daripada kaitan pelan-pelan itu atau laporan-laporan ini dengan program yang kami gubal pada sesi retreat tersebut, kami telah gariskan lima fokus dan 15 program perdana yang dirancang untuk dilaksanakan program pada tahun 2025,” katanya.

Maimunah berkata, langkah berkenaan juga boleh dikaitkan dengan Belanjawan DBKL 2025 yang telah dibentangkan selain menganalisa maklumat-maklumat yang diperolehi daripada warga kota menerusi portal rasmi Belanjawan DBKL 2025.

“Daripada analisis yang dijalankan dan inilah yang saya rasa kami boleh capai untuk menjalankan atau melaksanakan program tersebut pada tahun 2025.

“Dan sebab itu ada tindakan dan outcome dan laporan ini adalah lebih panjang lagi kerana ia ada outcome siapa yang perlu dipertanggungjawabkan dari aspek kajian dan peruntukan yang disediakan, garis masa.

“Kami juga mewujudkan dashboard dan war room di peringkat pelaksanaan kerana kita telah pun maklumkan kepada warga kota inilah secara khususnya perkara yang kami akan buat secara berfokus untuk dilaksanakan pada tahun 2025,” katanya. – WILAYAHKU

[Iklan]

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas