DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan segera menjalankan kerja-kerja pengalihan, pemotongan, dan pembersihan segera pokok tumbang dan dahan serkah akibat hujan lebat semalam.
DBKL dalam hantaran di Facebook menjelaskan, tiga pasukan operasi dikerah termasuk First Rider dengan kekuatan seramai 20 petugas.
“Pasukan ini telah bergerak ke semua lokasi terjejas bagi menjalankan kerja-kerja pengalihan, pemotongan, dan pembersihan segera.
“DBKL komited dalam memastikan pemulihan dan pembersihan dilakukan dengan pantas bagi mengurangkan risiko bahaya kepada orang awam serta mengelakkan sebarang gangguan kepada pengguna jalan raya,” katanya.
Terdahulu, hujan lebat dan angin kencang yang melanda Kuala Lumpur petang semalam telah mengakibatkan kejadian pokok tumbang dan dahan patah di 14 lokasi sekitar ibu kota.
Antara lokasi yang terlibat Jalan Desa Utama, Taman Desa; NO 4, Jalan Teluk Pulai, Taman Desa;
Lot 6A Seksyen 88 Jalan Ampang; Jalan Kuchai Maju 9, Kuchai Lama;
Jalan Rukun 4, Gembira dan Jalan Kuchai Jaya 8, Kuchai Lama. – WILAYAHKU