Berita

DBKL aktifkan bilik gerakan 24 jam pantau banjir

- Diterbit 16 Oktober 2024 9:06 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengaktifkan bilik gerakan 24 jam untuk memantau kawasan-kawasan hotspot banjir melalui kamera litar tertutup (CCTV).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata tindakan segera akan diambil jika berlaku kejadian banjir kilat.

Beliau berkata demikian selepas ke Universiti Malaya (UM) yang merupakan salah satu kawasan yang terjejas akibat banjir kilat pagi tadi.

“Selesai urusan di Parlimen petang tadi, saya bergegas ke UM.

“Saya menerima taklimat ringkas daripada Pengarah Eksekutif Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan Harta UM, Ar Dr Sharifah mengenai insiden tersebut. Alhamdulillah, banjir di UM telah surut dalam beberapa jam sahaja,” katanya di Facebook.

Zaliha memuji tindakan pihak UM yang ada menggunakan siren sebagai penggerabkepada warganya sekiranya paras air berada pada tahap yang membimbangkan.

Beliau berkata banjir kali ini berlaku disebabkan hujan lebat dengan taburan melebihi 60 milimeter (mm) per jam dan mencecah sehingga 118 mm di kawasan Kuala Lumpur.

“Keadaan ini menyebabkan kenaikan paras air yang mendadak.

“Selain itu, masalah laluan air yang tersumbat turut dikenal pasti sebagai penyumbang,” katanya.

Sementara itu, Zaliha telah mengarahkan DBKL supaya menyemak kerja-kerja oleh syarikat konsesi yang bertanggungjawab.

Beliau berkata tindakan pantas diperlukan dalam menghadapi musim banjir masa ini.

“Jika mereka gagal, DBKL perlu ambil tindakan tegas segera.

“UM mempunyai kolam takungan hujan yang mampu menampung sehingga 16,000 meter padu air.

“Proses desiltasi terakhir dilakukan dua tahun lalu, dan saya meminta DBKL menilai keperluan untuk desiltasi semula dengan segera, memandangkan cuaca yang tidak menentu,” katanya.

Zaliha berkata beliau dimaklumkan hujan pada tahun ini belum mencapai paras yang mencukupi.

Beliau berkata kemungkinan besar hujan lebat akan berlaku pada hujung tahun, yang berisiko menyebabkan banjir.

Turut hadir Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas