DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan kira-kira 37 notis penguatkuasaan terhadap struktur haram yang didirikan oleh warga asing di sebuah perkampungan haram di Sentul.
Unit Media, Jabatan Perancangan Korporat dalam kenyataan berkata pihakny telah menjalankan tindakan susulan ekoran daripada serbuan yang telah dijalankan ke atas perkampungan haram tersebut dan akan mengeluarkan notis penguatkuasaan tujuh hari terhadap struktur haram di kawasan tersebut bermula 30 Julai 2024.
“Sebanyak 37 notis penguatkuasaan telah dikeluarkan di bawah Seksyen 46(1)(a) Akta 133 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.
“Tindakan penguatkuasaan roboh akan dilaksanakan selepas tamat tempoh notis,” katanya hari ini.
DBKL berkata sebanyak 28 struktur kediaman, sebuah struktur surau dan tiga struktur kedai runcit milik bukan warganegara serta dua struktur kedai barang lusuh/besi buruk dan tiga struktur kediaman milik warganegara didapati berada di atas tanah tersebut. – WILAYAHKU