Berita

DBKL akan perkenal sistem amaran awal pergerakan tanah

Early Warning System (EWS) telah dipasang di 10 lokasi berhampiran tapak kejadian tanah runtuh di hadapan Akademi SPRM (MACA) Bukit Tunku, Jalan Duta Kuala Lumpur.
- Diterbit 5 Mei 2023 10:44 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memperkenalkan sistem amaran awal pergerakan tanah di lokasi berisiko tanah runtuh sekitar ibu negara.

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh, sistem ini akan dilaksanakan di seluruh ibu negara secara berperingkat dengan keutamaan di lokasi yang lebih berisiko.

“Penyelenggaraan berkala ke atas cerun-cerun di dalam rezab jalan akan diteruskan oleh DBKL menggunakan kontraktor berpenggal yang telah dilantik.

“Kontraktor ini turut bersiap siaga untuk bertindak pada musim hujan sekiranya terdapat runtuhan sama ada berskala besar mahupun yang berskala kecil,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Jelas Kamarulzaman, pihaknya turut berkolaborasi dengan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Geologi Malaysia untuk khidmat nasihat hal berkaitan kejadian tanah runtuh di Kuala Lumpur.

Pada 25 April lalu, media melaporkan kejadian tanah runtuh berhampiran Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin.

Ia disusuli kejadian seorang pengawal keselamatan maut selepas tebing setinggi enam meter runtuh dan menimbus pondok pengawal di Wisma YPR, Taman Seputeh di sini, Khamis lalu.

Datuk Bandar berkata DBKL menerima sebanyak 108 aduan kejadian tanah runtuh dan cerun berisiko di Kuala Lumpur sejak Disember 2021.

“Daripada jumlah tersebut, 59 aduan melibatkan rezab jalan yang telah siap dibaiki oleh DBKL manakala 49 cerun lagi berada di bawah tanggungjawab pihak persendirian.

“DBKL telah mengeluarkan notis kepada pemilik tanah (persendirian) untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan dipantau dari semasa ke semasa oleh DBKL,” ujarnya.

Katanya, pengurusan cerun di Kuala Lumpur bergantung kepada status pemilikan tanah dan melibatkan pelbagai pihak yang akan mengambil tindakan sewajarnya bagi kerja-kerja pembaikan ke atas runtuhan tersebut.

Jelasnya, pengurusan tanah runtuh di bawah tanggungjawab DBKL meliputi kawasan rezab jalan, kawasan rekreasi dan mana-mana tanah di bawah penyelenggaraan DBKL.

Katanya, Unit Cerun DBKL sedang merangka dan bercadang untuk melaksanakan program melibatkan warga Kuala Lumpur menerusi sesi perjumpaan dan taklimat mengenai penyelenggaraan cerun di dalam kawasan persendirian ke arah pemerkasaan pengurusan cerun.

“Program ini turut melibatkan kesedaran berkenaan insiden tanah runtuh dan tanda-tanda awal kejadian tanah runtuh supaya tindakan pencegahan dapat diambil sebelum kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Selain itu, DBKL dalam proses menyediakan Garis Panduan Penyelenggaraan Cerun di Kawasan Tanah Bermilik di Kuala Lumpur sebagai rujukan khususnya kepada pemilik tanah persendirian, ” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas