DATUK Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Maimunah Mohd Sharifd telah mengadakan pertemuan bersejarah bersama Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev, di Baku baru-baru ini.
Dalam hantaran di laman Facebook, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata pertemuan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuhkan hubungan antarabangsa antara Kuala Lumpur dan Azerbaijan, seiring dengan semangat pembangunan lestari dan regenerasi bandar.
“Dalam pertemuan ini, Datuk Seri Maimunah turut memberikan ucapan tahniah kepada Azerbaijan atas kejayaan menganjurkan COP29 yang telah menarik perhatian dunia terhadap keperluan tindakan global, terutama berkaitan keperluan komuniti yang paling terkesan,” katanya hari ini.
DBKL berkata pertemuan ini juga menyoroti perbincangan bersama Datuk Bandar Baku yang memfokuskan kepada usaha regenerasi bandar dan pembangunan bandar pintar.
“Ini adalah langkah penting dalam membina jaringan kerjasama antara Malaysia dan Azerbaijan demi manfaat pembangunan lestari, mampan, dan inovatif,” katanya.
Ujar DBKL, pihaknya terus komited membawa inspirasi global dan kerjasama strategik demi kesejahteraan warga Kuala Lumpur. – WILAYAHKU