Berita

Data SSDM: 11,594 murid terlibat buli

- Diterbit 16 Disember 2024 2:48 PM MYT

SEJUMLAH 11,594 murid dilaporkan terlibat dengan insiden buli menurut data direkodkan Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) pada 2023 sehingga 31 Oktober tahun ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, bentuk-bentuk buli yang kerap berlaku termasuk buli fizikal, buli verbal serta buli siber.

Menurut beliau, ia sering terjadi akibat pengaruh rakan sebaya, tekanan sosial dan kurangnya kawalan emosi dalam kalangan murid.

“Kementerian Pendidikan (KPM) konsisten menangani gejala buli dalam kalangan murid melalui aktiviti pencegahan, penguatkuasaan peraturan dan langkah intervensi oleh pengetua dan guru besar.

“KPM mengambil empat aspek utama iaitu penyedaran, pelaporan, pemantauan dan penghukuman,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Abun Sui Anyit mengenai usaha kementerian mengekang kegiatan buli dalam kalangan pelajar sekolah.

Kah Woh berkata, dalam aspek penyedaran, pihaknya telah mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 12 Tahun 2023: Pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli Di Institusi Pendidikan Bawah KPM.

Pada masa yang sama katanya, KPM melaksanakan Program Pembinaan Karakter Generasi MADANI (GenMADANI) bagi mengekang kegiatan buli dalam kalangan murid.

Jelas beliau, sebahagian besar modul yang diguna pakai dalam pelaksanaan program itu merangkumi domain patriotisme dan kenegaraan dengan penerapan unsur disiplin diri, pengurusan masa, kecergasan fizikal, kognitif serta amalan kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial.

“Program rintis GenMADANI pada tahun ini telah dilaksanakan dan seramai 2,542 orang murid yang terdiri daripada murid tingkatan empat, tingkatan enam, Tahun 1 Sijil Vokasional Malaysia dan pelajar kolej matrikulasi telah direkodkan.

“Melalui projek rintis ini, pada tahun hadapan, KPM akan memperluaskan pelaksanaan program selari dengan Konsep Generasi MADANI dengan menambah baik modul sedia ada,” katanya.

Beliau menambah, pelaporan bagi kes-kes sosial telah disediakan termasuk menyediakan Portal Aduan Buli sebagai medium pelaporan.

Katanya, pelaporan boleh dibuat melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KPM, e-mel, talian telefon dan aplikasi WhatsApp.

“Selain itu, KPM memantau salah laku buli dalam kalangan murid melalui perekodan dalam SSDM. Pihak Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK) memberikan intervensi untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid terjaga sementara siasatan dijalankan. Semua kes buli dilaporkan kepada PGB untuk tindakan lanjut.

“Murid yang didapati terlibat dalam salah laku buli sebagai kesalahan disiplin boleh dikenakan tindakan mengikut peraturan yang berkuat kuasa di bawah Akta Pendidikan 1996. PGB hendaklah mengambil kira rekod disiplin murid sebelum ini dalam membuat keputusan mengenai tindakan disiplin yang selanjutnya,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas