Berita

Data peribadi pengguna selamat dan dilindungi

- Diterbit 5 Januari 2024 9:10 AM MYT

PELAKSANAAN Pangkalan Data Utama (PADU) akan membantu kerajaan menyediakan pengukuran kedudukan sosioekonomi rakyat yang lebih tepat.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata ia sekali gus mengelakkan keciciran berdasarkan pendapatan boleh guna bersih.

Tambah Rafizi, sistem tersebut juga mampu membantu kewajaran pemberian bantuan berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.

“Ini membolehkan kerajaan beralih daripada konsep B40, M40 dan T20 kepada kewajaran pemberian bantuan berdasarkan kriteria yang ditetapkan.

“Kaedah pengukuran ini mengambil kira jumlah tanggungan dan bilangan isi rumah, kos sara hidup mengikut lokasi, jarak ke tempat kerja serta pemilikan aset seperti rumah, kenderaan dan tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran PADU di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya baru-baru ini.

Malah menurut Rafizi pelaksanaan PADU juga merupakan sebahagian daripada tindakan proaktif serta responsif yang dilakukan kerajaan sejajar dengan kerangka ekonomi Madani.

Selain itu, Rafizi berkata bagi memastikan pengendalian data yang selamat, prosedur operasi standard (SOP) yang komprehensif telah diwujudkan.

Jelas beliau, kerajaan menyedari isu keselamatan siber sememangnya antara perkara yang menjadi kebimbangan rakyat dengan pembangunan pengkalan berkenaan turut mengambil kira segala aspek berkaitan risiko keselamatan sistem dan kebocoran maklumat berperingkat.

“Kerjasama strategik turut diadakan antara Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA); Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO); CyberSecurity Malaysia (CSM); Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital untuk meningkatkan keselamatan serta mencegah kebocoran data, sekali gus memastikan perlindungan data peribadi pengguna,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rafizi turut memberitahu PADU mampu membantu negara mencapai sasaran defisit fiskal antara 3.0 hingga 3.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025.

PADU dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), dengan kerjasama dan sokongan pelbagai kementerian, agensi serta Kerajaan Negeri.

Pembangunan PADU adalah­ sebahagian daripada usaha ke arah Govtech melalui penyediaan pangkalan data utama negara yang selamat, komprehensif dan hampir pada masa sebenar yang membolehkan analitik data lebih tepat dihasilkan.

PADU juga menyokong tiga aspek utama yang diberi penekanan dalam Govtech, iaitu perkhidmatan awam yang mudah diakses dan berpaksikan rakyat, transformasi kerajaan digital serta sistem kerajaan yang cekap, telus dan tidak rumit. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas