Fitnah vs Fakta

Data peribadi PADU digodam?

Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 26 Februari 2024 2:22 PM MYT

SEJAK dilancarkan pada Januari lalu, sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang diperkenalkan kerajaan terus menjadi topik utama perbincangan semua pihak. Malah terdapat segelintir yang seakan ‘terpaling’ arif tentang sistem tersebut.

Terbaharu, kecoh di laman sosial mengatakan sistem PADU berjaya ditembusi oleh penggodam sekali gus mencuri data daripada PADU dan menceroboh infrastruktur keselamatan salah sebuah agensi kerajaan.

Nampaknya lebih sebulan dilancarkan namun rakyat masih belum memahami sepenuhnya apa sebenarnya PADU dan sejauh mana data peribadi mereka dilindungi. Biarpun bertebaran di media sosial dan dada akhbar tentang perlindungan data yang dijamin namun masih ada yang memekakkan telinga dan membutakan mata untuk memahaminya.

Dalam masa yang sama, mereka lebih suka mendengar khabar angin lebih-lebih lagi mempercayai info daripada sumber yang tidak diyakini. Sedangkan terdapat laman @paduofficial_ disediakan untuk pengesahan.

Menafikan perkara tersebut, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam ciapan di laman X mengesahkan info yang dilaporkan forum dalam talian tersebut tidak benar dan tidak disemak terlebih dahulu.

Masalah paling utama yang sukar untuk diperbaiki adalah gemar untuk berkongsi sesuatu yang tidak pasti, menyebarkannya sekali gus mendatangkan kegusaran kepada orang lain.

Perlu ditekankan di sini PADU dibangunkan 100 peratus oleh penjawat awam untuk mengurangkan risiko kebocoran data kepada pihak ketiga dan vendor luar yang memiliki akses kepada data rakyat.

Jadi, bagi mengatasi masalah ini maka pihak kerajaan telah membangunkan PADU dan dalam masa yang sama tidak perlu bergantung harap pada pihak luar yang akhirnya menghabiskan wang dan keselamatan belum tentu terjamin.

Model sebelum ini yang melantik vendor atau syarikat swasta untuk aplikasi kerajaan tidak sesuai kerana keterbatasan untuk mengawal sistem dan kerumitan menyelesaikan masalah berkaitan dengan segera.

Tidak perlu dipertikaian terus menerus berkenaan hal ini memandangkan keutamaannya adalah menggunakan kepakaran dalaman selain tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88).

Rafizi sebelum ini berkata, jika pihak berkenaan melanggar akta tersebut maka mereka boleh didakwa berbanding jika pihak ketiga (vendor), mereka tidak tertakluk kepada akta tersebut.

Betapa pentingnya sistem ini dalam memastikan rakyat yang layak memperolehi manfaat dan seterusnya tidak tercicir menerima bantuan dan perlindungan sosial serta subsidi bersasar oleh pihak kerajaan. Malah data yang yang dikumpul bukan data baharu, ia merupakan data yang ada dalam pangkalan data kerajaan.

Terdahulu, PADU telah diaudit oleh pasukan berkemahiran tinggi untuk memastikan perlindungannya seperti apa yang telah disarankan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas