Berita

Dasar Gaji Progresif lonjakan ke arah pemulihan pasaran pekerja

SEBANYAK 62 peratus pekerja dan 80 peratus syarikat menyambut baik cadangan Dasar Gaji Progresif. - Gambar hiasan
- Diterbit 10 Ogos 2023 9:00 AM MYT

ISU gaji merupakan perkara pokok yang tidak boleh diabaikan oleh mana-mana pihak. Ini kerana, berdasarkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Pertama 2023 yang ­dibentangkan pada minggu lepas, lebih dua ­juta pekerja Malaysia masih ­berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan.

Situasi tersebut lebih ­membimbangkan buat golongan ­muda antara umur 20 hingga 24 ­tahun di mana gaji penengah mereka hanyalah RM1,682 ­sebulan dan ­bagi kebanyakan pekerja Malaysia, ­gaji hanya akan ­meningkat ­kepada RM3,500 pada paras ­tertinggi ­sekitar umur 40 hingga 49 tahun sepanjang kerjaya mereka.

Justeru itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) mengadakan mesyuarat bagi membincangkan tentang ­cadangan Dasar Gaji Progresif (Progressive Wage Policy) pada Isnin.

“MTEN berpandangan ­bahawa Dasar Gaji Progresif ­merupakan ­salah satu reformasi ­pasaran ­pekerja untuk memastikan pekerja Malaysia tidak dibebankan ­dengan kos sara hidup dan dapat ­menikmati pekerjaan dengan gaji yang ­bermaruah demi ­kesejahteraan rakyat dan ­mencapai agenda ­mengangkat ekonomi negara.

“Dasar Gaji Progresif ini ­adalah bersifat sukarela ­(voluntary), ­berteraskan insentif ­(incentive-based) dan terkait dengan produktiviti (productivity-linked),” jelas Anwar dalam satu kenyataan.

Menurut Anwar, model dasar ini diusulkan setelah MTEN ­mengambil kira pandangan dan ­kepentingan ­pihak majikan dan pekerja ­serta ia juga merupakan pelengkap kepada dasar gaji minimum akan disusuli dengan garis panduan gaji ­progresif tahunan bagi setiap ­sektor, ­pekerjaan dan peringkat.

“Sesi libat urus dan tinjauan ­awal telah menunjukkan sebanyak 62 peratus pekerja dan 80 peratus syarikat menyambut baik cadangan Dasar Gaji Progresif dengan ciri yang dinyatakan,” jelas beliau.

Beliau berkata MTEN ­berharap dasar ini akan ­menerima ­sambutan serta penyertaan ­sebanyak mungkin syarikat dan pekerja. Langkah ­selanjutnya adalah sesi ­perbincangan serta libat urus dengan pihak berkepentingan, ­terutamanya ­para pemain industri, perniagaan dan pekerja.

Jelas beliau, perkara ­tersebut akan dibawa ke Jemaah Menteri bagi ­memperhalusi ­mekanisma pelaksanaan secara berperingkat dan meneroka keperluan untuk ­memperuntukkan dana sebagai insentif berdasarkan kedudukan ­kewangan kerajaan dan keperluan dasar. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas