Berita

Dari Nelayan ke Usahawan Lada Bara

- Diterbit 9 Oktober 2023 3:01 AM MYT

Oleh: KHAIRUL IDIN

Hashim dan isteri (bawah) tekun mengusahakan kebun lada bara.

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itu perumpamaan yang dapat digambarkan kejayaan, Hashim Dahlan, 54, yang berasal dari Labuan.

Kalau dahulu dia mengabdikan diri sebagai seorang nelayan kini dia tersenyum lebar apabila mampu meraih pendapatan yang lumayan dengan mengusahakan tanaman lada bara.

Bercerita lanjut, Hashim berkata dia mula terjun ke dalam bidang penanaman lada bara pada tahun 2021 di mana ketika itu dia melihat perusahaan tersebut berpotensi untuk pergi jauh.
Walaupun sudah sebati dengan laut selama 20 tahun namun demi keselesaan keluarga dia nekad untuk mencuba perkara baharu.

Bermula dengan hanya menanam sebanyak 100 pokok lada bara di atas tanah milik keluarganya kini dia dapat menghasilkan 90 ke 100 kilogram tanaman tersebut dalam masa sebulan.

“Minat dalam pertanian bermula semasa saya mengikut program yang dianjurkan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP). Ketika itu juga mereka menawarkan bantuan awal kepada sesiapa yang berminat.

“Tanpa berfikir panjang saya menyertainya dan dapat nampak banyak kelebihan yang boleh diperolehi. Jika jadi nelayan, pendapatan agak terhad tetapi apabila menabur bakti pada tanah, kita nampak hasilnya depan mata.

“Dari situlah saya akhirnya mengambil keputusan untuk meninggalkan pekerjaan lama dan serius menceburi bidang pertanian. Namun tidak dinafikan, setiap pekerjaan ada cabarannya yang tersendiri.

“Pada permulaannya saya gagal disebabkan masa itu tidak mempunyai sebarang ilmu pengetahuan. Namun selepas itu, saya banyak mengikuti kursus dan bertanya kepada mereka yang arif,” ujarnya dalam masa setengah tahun dia berjaya menanam lada dengan betul.

Ujarnya ketika ditemui Wilayahku di Kampung Sungai Lada, baru-baru ini, dia bersyukur apabila hasil lada yang ditanam segar dan bebas daripada makhluk perosak.

“Tanaman lada bara mampu memberi pulangan dalam tempoh yang singkat iaitu hanya sekitar 45 hari dan mempunyai jangka hayat yang agak lama iaitu setahun.

“Selain itu, permintaan lada bara di Labuan amat tinggi dan harganya boleh mencecah RM35 hingga RM40 sekilo.

“Alhamdulillah setakat ini saya telah memasarkannya ke beberapa buah pasar raya dan kedai runcit di sekitar Labuan. Selain memasarkan lada, saya dan isteri juga membuat beberapa produk seperti lada kisar dan beberapa jenis sambal yang mempunyai permintaan yang tinggi.

“Hasil pendapatan juga memberangsangkan berbanding sebelum ini dan mencecah ribuan ringgit sebulan,” ujarnya lega dapat memberi kehidupan yang lebih selesa kepada keluarga.

Buka Rumah Cendawan

MENGULAS lanjut perancangan dalam bidang pertanian, Hashim mengakui ingin mempelbagaikan jenis tanamannya dan tidak hanya bergantung kepada hasil tanaman lada bara sahaja.

Dengan hasil pendapatan yang diperolehi daripada hasil lada, dia dan isteri mengambil keputusan untuk membina sebuah rumah cendawan berskala kecil.

“Idea untuk membuka rumah cendawan ini idea isteri saya yang melihat permintaan cendawan amat tinggi. Jadi, kerana itu kami tidak mahu melepaskan peluang untuk mencuba.

“Rumah cendawan telah siap awal bulan lalu, namun kami masih memerlukan peralatan dan bokah untuk menanam cendawan. Insya-Allah saya akan mulakan penanaman cendawan dalam waktu terdekat jika semua peralatan, benih dan sebagainya mencukupi,” ujarnya berterima kasih kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang sering menghulurkan bantuan pertanian. – WILAYAHKU

Info :

Alamat: Kampung Sungai Lada, Wilayah Persekutuan Labuan
Hubungi: 012 – 898 1061

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas