AHLI Parlimen Seputeh mewakili Parti Tindakan Demokratik (DAP), Teresa Kok adalah seorang pemimpin berjiwa rakyat yang sanggup menolong golongan kurang berkemampuan tanpa mengira masa.
Segala permasalahan ditangani dengan tenang walau berhadapan dengan pelbagai cabran yang berliku menjadikan beliau antara ahli Parlimen yang sentiasa mendengar dan dekat di hati rakyat.
Wilayahku berpeluang mendengar segala pengalaman daripada sisi Teresa sepanjang perkhidmatannya di kawasan Parlimen Seputeh.
Boleh YB ceritakan pengalaman sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Seputeh?
Sepanjang enam penggal menjadi Ahli Parlimen pelbagai pengalaman berharga saya peroleh dan tidak boleh dilupakan.
Jawatan ini adalah satu amanah dan tanggungjawab yang sangat berat untuk digalas. Banyak perkara yang perlu ditangani terutamanya dalam membantu rakyat dari segi kelangsungan hidup.
Kepentingan rakyat adalah keutamaan saya, masalah penduduk Seputeh juga adalah masalah saya, justeru segala permasalahan mereka akan didengari, akan saya tolong dan selesaikan semampunya.
Ia bukan mudah, namun itulah antara cabaran yang saya lalui sepanjang tempoh enam penggal itu.
Antara cabaran sukar yang dilalui YB?
Jika disoal tentang cabaran, setiap hari ialah cabaran untuk saya dalam memberikan keselesaan kepada penduduk di kawasan Seputeh ini.
Sebenarnya, masalah utama ialah masalah pembangunan tidak terkawal. Bila terjadinya benda ini, akan timbul masalah kepadatan penduduk yang melampau, akan muncul pula kesesakan lalu lintas. Jadi ia adalah satu rantaian masalah.
Oleh kerana itu, saya bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) sering bekerjasama bagi menyelesaikan permasalahan ini.
Apakah ada isu lain yang cuba diketengahkan YB?
Sebenarnya, selain daripada kepadatan penduduk, isu masalah sampah juga kerap terjadi di kawasan-kawasan perumahan.
Dengan kerjasama PBT termasuk SWCorp juga, ia sangat membantu melancarkan proses permasalahan sampah ini.
Seperti yang telah saya katakan, keselesaan penduduk adalah keutamaan saya dalam menjadi seorang Ahli Parlimen Seputeh.
Bagaimana pula dengan isu pengangkutan awam di tempat YB?
Secara realitinya, memang ramai yang menggunakan pengangkutan awam, lebih-lebih lagi bagi mereka yang bekerja dekat dengan stesen-stesen kereta api ini.
Walau bagaimanapun, suka untuk saya nyatakan, masih ramai lagi yang menggunakan kenderaan sendiri sebagai pengangkutan.
Pihak berwajib juga sudah banyak melaksanakan inisiatif bagi orang ramai menggunakan pengangkutan awam, kerana ia adalah satu kemudahan.
Mereka tidak lagi perlu bersesak dalam kesesakan trafik selain duit petrol dan parkir yang mungkin boleh menjimatkan mereka sendiri.
Bagaimana YB menyantuni penduduk Seputeh?
Banyak aktiviti yang diatur daripada pasukan saya dengan melakukan gerak kerja turun padang untuk bersama-sama penduduk.
Antaranya seperti Dapur Seputeh, mesyuarat bersama Majlis Perwakilan Penduduk (MPP), mesyuarat antara zon, sambutan perayaan, malah saya turut terlibat sama dalam aktiviti sekolah.
Bukan apa, ia lebih mudah bagi penduduk dan juga saya untuk beramah mesra dan saling mengenali antara satu sama lain sekali gus kita juga dapat mendengar setiap luahan penduduk.
Berapa kerap YB mengadakan dialog bersama penduduk?
Boleh dikatakan setiap bulan akan ada mesyuarat bersama MPP, manakala antara Zon pula sebanyak empat kali setahun.
Daripada situ, kita akan mendengar luahan penduduk, apakah yang boleh ditambah baik, apa yang mereka perlukan atau jika ada sebarang kekurangan, semuanya dilakukan demi keselesaan mereka.
Kita juga bawa bersama pihak berkuasa serta keselamatan dalam membantu penduduk mendapatkan info-info yang berguna.
Apakah yang dimaksudkan dengan Dapur Seputeh?
Ia adalah satu inisiatif saya bersama pasukan dalam membantu mereka yang berada dalam kesusahan dan diadakan dua kali seminggu setiap Sabtu dan Ahad di Program Perumahan Rakyat Kampung Muhibbah dan Taman Salak Selatan.
Kami akan sediakan dan edarkan makanan kepada penduduk Seputeh, mereka boleh datang ambil sahaja tanpa dikenakan sebarang bayaran.
Daripada situ juga, hubungan yang terjalin antara kami dan masyarakat setempat amat erat. Itu memberikan satu kepuasan buat diri saya.
Difahamkan pihak YB juga ada menaja 100 orang suri rumah untuk mencarum kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR)?
Iya, saya tergerak hati untuk berbuat demikian kerana adalah lebih baik jika mereka ini dilindungi dan mempunyai SKSSR kerana kebanyakannya tidak mempunyai pendapatan.
Justeru itu, mungkin perkara ini dapat membantu mereka dalam menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada golongan suri rumah daripada bencana domestik dan keilatan semasa menguruskan rumah.
Bagaimana pula dengan bantuan persekolahan di kawasan Seputeh?
Di kawasan Seputeh terdapat 26 buah sekolah rendah dan menengah. Tiada satu sekolah pun yang diabaikan oleh pihak kami.
Segala peruntukan daripada kerajaan juga diagihkan kepada semua sekolah, malah ada juga yang kami beri lebih sekiranya mereka perlukan bantuan lebih untuk menaik taraf fasiliti persekolahan.
Malah dianggarkan juga kira-kira lebih RM1 juta peruntukan diberi kepada sekolah-sekolah kawasan Seputeh dalam menambah baik fasiliti mereka.
Sempena perayaan Tahun Baru Cina ini, apakah perancangan yang akan dilakukan YB buat penduduk Seputeh?
Setiap kali musim perayaan saya memang sibuk dengan aktiviti bersama pasukan antaranya pergi ke pasar-pasar berdekatan atau mana-mana kawasan sekitar Seputeh untuk mendekati orang ramai.
Kami akan serahkan ang pau serta buah limau. Sebenarnya, dalam kepercayaan Kantonis, pemberian limau ibarat memberi emas. Reaksi wajah gembira penduduk itu sangat bernilai dan memberi sejuta makna buat saya.
Apakah yang dapat disimpulkan YB demi terus menjaga kesejahteraan dan keharmonian yang terjalin antara penduduk sehingga ke hari ini?
Saya bersama rakan-rakan lain amat bersyukur dengan hubungan baik yang terjalin ini.
Segala isu yang berbangkit akan diselesaikan dengan mencari solusi yang terbaik bagi semua pihak. Tanpa sokongan serta kepercayaan rakyat di sisi siapalah kami di sini. Disebabkan itu kepercayaan mereka adalah keutamaan kepada saya. – WILAYAHKU