Berita

D’Anjung Selera Madani berwajah baharu, sewa bulanan lebih rendah

ANWAR melihat pelan pembangunan D'Anjung Selera Madani ketika Majlis Perasmiannya di Bandar Tun razak hari ini.
- Diterbit 3 Jun 2023 6:27 AM MYT

SEWA bulanan kedai makan D’Anjung Selera Madani yang berwajah baharu dikurangkan kepada RM200 berbanding cadangan sebelum ini iaitu RM400.

Pengurangan tersebut sempena pembukaanya yang baharu selain bagi memudahkan peniaga.

Perkara tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Majlis Perasmian D’Anjung Selera Madani, Jalan Jujur, Bandar Tun Razak, sebentar tadi.

“Saya juga telah mengarahkan Datuk Bandar Kuala Lumpur menarik balik lesen perniagaan sekiranya peniaga gagal membayar sewa bulanan melainkan hal-hal kecemasan seperti pandemik COVID-19 tempoh hari,” ujar beliau kepada pemberita.

ANWAR (lima kiri) ketika gimik perasmian D’Anjung Selera Madani, Jalan Jujur.

Anwar berkata D’Anjung Selera Madani yang dahulunya dikenali sebagai Anjung Selera Jalan Jujur dinaik taraf agar lebih selesa dan kondusif.

“Apa yang penting adalah kebersihan, kemudahan asas, selesa dan juga indah.

“Kita mahu projek seperti ini lebih banyak di Kuala Lumpur kerana penduduk dari kategori pendapatan rendah lebih ramai di sini,” katanya yang mahu setiap warung dan gerai penjaja kecil di sekitar Kuala Lumpur cantik dan bersih.

Turut hadir isteri Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh dan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas