D’ANJUNG Selera Madani Jalan Jujur, Bandar Tun Razak kini berwajah baharu dengan fasiliti yang lebih moden, bersih dan tersusun di bawah Program Lestari@Niaga Kuala Lumpur.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan berkata pembangunan semula dan pengindahan D’Anjung Selera Madani Jalan Jujur merupakan antara inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menaik taraf fasiliti gerai-gerai peniaga kecil dan penjaja sedia ada di Wilayah Persekutuan.
“Antara infrastruktur yang telah ditambah baik adalah kemudahan surau, tandas serta rumah sampah yang lebih kondusif, penyediaan ruang bumbung lebih tinggi dan nyaman kepada para pengunjung.
“Selain itu, pembinaan ruang parkir kenderaan sebanyak 48 petak di mana ia ditawarkan kepada persatuan peniaga bagi tujuan pengurusan serta pemasangan solar bagi common area,” katanya.
DBKL berkata D’Anjung Selera Madani Jalan Jujur, Bandar Tun Razak yang dahulunya dikenali sebagai Anjung Selera Jalan Jujur Bandar Tun Razak itu telah menelan perbelanjaan sebanyak RM7.2 juta dan mempunyai sebanyak 24 gerai berkunci dan tiga unit kios bagi peniaga.
“DBKL bersama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) telah menyasarkan sebanyak 87 lokasi pusat-pusat penjaja serta gerai-gerai bagi penjaja dan peniaga kecil di seluruh Kuala Lumpur untuk dinaik taraf dengan peruntukan sebanyak RM30 juta,” katanya.
Di samping memperkasakan fizikal dan prasarana penjaja, DBKL berkata pihaknya juga melihat akan kepentingan pembangunan modal insan yang perlu selari dengan pembangunan fasiliti.
“Pihak DBKL telah mengambil langkah proaktif dalam memberi latihan, bimbingan dan kesedaran kepada peserta yang berminat untuk menjadikan bidang keusahawanan sebagai satu kerjaya menerusi Seminar Program Ikon Usahawan,” ujarnya.
Terdahulu, D’Anjung Selera Madani Jalan Jujur, Bandar Tun Razak telah dirasmikan oleh Perdana Menteri yang turut mengumumkan kadar sewaan tapak gerai diturunkan kepada RM200 sebulan.
Turut hadir Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh dan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar. -WILAYAHKU