Berita

Dana tambahan amat bermakna

Foto: BERNAMA
- Diterbit 7 Januari 2025 12:14 PM MYT

PERTUBUHAN Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) menzahirkan kesyukuran berikutan penyaluran dana tambahan yang julung kali diberikan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) sekali gus dapat membantu meningkatkan perkhidmatan untuk pelatih yang terdiri daripada orang kurang upaya (OKU).

Menurut Pengerusi PPDK Petaling, Zainuddin Amran, sebelum ini setiap PPDK akan diberikan geran untuk pengurusan sahaja dan menjalankan aktiviti mengikut silibus yang disediakan jabatan.

“Apabila menerima dana tambahan, ia boleh dimanfaatkan untuk banyak perkara. Sebagai contoh di PPDK di bawah kendalian saya, kami akan manfaatkan dana tersebut untuk menaik taraf tempat itu termasuklah mengecat dan menyelenggara bagi keselesaan murid.

“Selain PPDK Petaling, tempat lain juga berdepan isu tidak mempunyai laluan kecemasan dan kami akan gunakan peruntukan ini untuk membuat tangga bagi membina laluan kecemasan dan pintu tambahan,” katanya.

Zainuddin yang memuji pendekatan yang diambil Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dilihat bertindak sebagai Menteri Besar di kerajaan negeri berikutan peka terhadap keperluan PPDK serta pelatih.

“Inisiatif ini adalah julung kali dilakukan. Saya melihat ke depan jika dapat peruntukan ini, banyak perkara yang boleh dilaksanakan termasuk penganjuran aktiviti tambahan untuk pelatih,” katanya.

Menurut Zainuddin, pihaknya berdepan kekangan dana untuk melaksanakan aktiviti tambahan yang sememangnya diperlukan untuk meningkatkan keupayaan pelatih.

“Untuk aktiviti tambahan, kita sebagai jawatankuasa perlu mencari dana tambahan. Jika ada tahun depan ini, sekurang-kurang RM10,000 pun sudah memadai untuk aktiviti tambahan,” katanya.

Beliau berkata PPDK Petaling menempatkan 25 pelatih yang menghadapi masalah autisme serta mempunyai pelajar dari umur dua tahun hingga 40 tahun.

“Apabila ada geran daripada JWP, ia amat membantu PPDK untuk meningkatkan lagi perkhidmatan untuk pelatih kerana sekarang ini agak sukar untuk mendapatkan tajaan.

“Peluang yang diberikan ini dapat membuka mata dan masyarakat dapat melihat dan mengiktiraf PPDK ini kerana ramai yang menyangkakan ia adalah swasta sedangkan ia di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Tambahnya, inisiatif di bawah Kerajaan MADANI ini yang turut mengambil kira golongan OKU ini merupakan satu usaha yang murni sebagai satu kewajipan sosial yang bermakna.

Terdahulu, Zaliha berkata JWP memperuntukkan sebanyak RM710,000 yang diagihkan kepada 15 PPDK iaitu 10 di Kuala Lumpur, tiga di Putrajaya dan dua di Labuan sejak Julai lalu.

“Dana berkenaan boleh digunakan untuk pembaikan premis, pembelian peralatan asas dan keperluan terapi pelatih merangkumi penambahbaikan bilik snoezelen serta pembelian alat bantu mengajar seperti komputer, kipas dan penyaman udara.

“Selain itu, keperluan khusus lain seperti kerusi khas untuk pelatih serebrum, alat permainan dan peralatan terapi,” katanya pada Majlis Sumbangan Program Pembangunan Komuniti 2024 di PPDK Permata, Brickfields pada Selasa.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah JWP, (Pengurusan dan Sosio Ekonomi) Datuk Parang Abai @ Thomas. – WILAYAHKU

[Iklan]

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas