DAKWAAN yang menyatakan bahawa seramai 30,000 orang kakitangan perkhidmatan awam yang tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan ditamatkan perkhidmatan adalah tidak benar dan tidak berasas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata berdasarkan rekod Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kelulusan Contract of Service (CoS) di bawah peruntukan OS29000 untuk tahun 2024 bagi kakitangan yang tidak memiliki SPM adalah sebanyak 2,037 orang.
“Ingin saya tegaskan di sini bahawa tiada sebarang arahan dikeluarkan oleh Kerajaan untuk penamatan kontrak secara besarbesaran terhadap pegawai yang tidak memiliki SPM.
“Sebaliknya, pengurusan kontrak pegawai CoS adalah berasaskan keperluan perkhidmatan semasa serta persetujuan bersama antara kedua-dua pihak,” katanya ketika sesi penggulungan peringkat kementerian di parlimen hari ini.
Beliau berkata bagi pegawai yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya enam tahun, tempoh perkhidmatan pegawai boleh diambil kira untuk menggantikan kelayakan SPM bagi pegawai tetap.
“Namun bagi pegawai lantikan kontrak, tempoh perkhidmatan mereka tidak boleh diambil kira untuk menggantikan kelayakan SPM,” katanya.-WILAYAHKU