MASIH terdapat segelintir pengguna media sosial yang mendakwa pihak kerajaan mengawal kandungan dalam media sosial dan sewenang-wenangnya menyekat serta memadam hantaran yang menyalahkan kerajaan sekali gus mendakwa Kerajaan Perpaduan tidak boleh ditegur.
Malah, ada juga yang melemparkan tuduhan mendakwa pihak kerajaan ‘koyak’ dengan komen negatif yang dimuat naik sehingga sanggup memadam apa sahaja kandungan yang tidak sealiran dengannya.
Tuduhan tidak berasas (kerajaan turunkan kandungan dalam media sosial) tersebut nampaknya sengaja direka oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang menimbulkan tanggapan negatif kepada kerajaan.
Bukan hanya rakyat atau pembangkang yang diturunkan kandungannya, malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menjadi ‘mangsa’ di mana kandungan dalam media sosialnya diturunkan oleh Meta Platforms Inc (Meta).
Ini menjadi bukti bahawa kerajaan tidak pernah sewenang-wenangnya memadam hantaran mana-mana pihak kerana PM pun menjadi mangsa.
Mustahil lah PM meminta Meta menurunkan kandungannya sendiri?
Baru-baru ini Anwar menerima permohonan maaf Meta yang menurunkan kandungan akaun Facebook dan Instagram beliau berkait pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata kerajaan berharap kejadian itu tidak berulang dan menegaskan Meta jangan ‘pilih kasih’.
“Perdana Menteri memaklumkan bahawa sahabat beliau termasuk berada di Timur Tengah membaca berita tersebut bermaksud ia telah sampai ke seantero dunia.
“Jadi, Perdana Menteri terima permohonan maaf itu dan pada masa sama, kita harap kejadian seperti itu tidak berulang,” kata Jurucakap Kerajaan itu dalam sidang media di Putrajaya, baru-baru ini.
Terdahulu, kerajaan menuntut permohonan maaf daripada syarikat induk Facebook dan Instagram, Meta kerana menurunkan beberapa hantaran media sosial Anwar berkait Allahyarham Ismail Haniyeh.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata tuntutan itu dibuat ketika Fahmi dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din bertemu wakil Meta baru-baru ini.
“Susulan permohonan maaf itu, kandungan tersebut dikembalikan dengan label berita sebenar yang bersesuaian,” kata Jurucakap Meta dipetik Reuters.
Sementara itu, Fahmi berkata beliau meminta Meta memberikan garis panduan terkini dari semasa ke semasa kerana dimaklumkan ia akan berubah-ubah khususnya mengenai isu geopolitik.
Sebelum ini juga, Bahagian Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri sangat prihatin apabila telah memanggil Meta bagi menuntut penjelasan berhubung tindakan penurunan beberapa hantaran mengenai Palestin dan Ismail Haniyeh.
Hantaran yang bertarikh 14 Mei dan 30 Julai itu diturunkan daripada Facebook dan Instagram Perdana Menteri. – WILAYAHKU