Oleh ZULKIFLI SULONG
SETAHUN lalu, saya dan isteri dibawa oleh anak-anak ke Avilion Port Dickson untuk meraikan ulang tahun kelahiran. Masuk sahaja ke hotel percutian ini, kami terpegun dengan keindahan dan kemewahannya.
Walaupun ia sudah agak lama, tetapi jelas kelihatan kehebatannya dengan pelbagai jenis kolam mandi, dari untuk kanak-kanak sehinggalah ke kolam renang untuk dewasa.
Bersama kami adalah kumpulan pelancong dari China yang juga memasuki kawasan itu di samping pelancong dari India juga.
Dalam pada itu, seorang rakan menghantar satu pautan coretan di dalam Facebook tentang sebuah banglo besar di Genting Highlands.
“Kalau sesiapa yang pergi pusat peranginan Genting Highlands, sebelum nak sampai Masjid Yayasan Noah, akan nampak satu bungalow besar design Eropah sebelah Resort Awana, Genting.
“Selalunya tempat ini orang ‘have-have’ akan jadikan tempat untuk berkahwin. Huhu
“Hari ini baru tahu yang bungalow besar design Eropah ini dimiliki oleh siapa…” tulis Fuad Akmal dalam Facebook beliau.
Banglo besar di Genting Highlands itu pula adalah Puncak Dani & Dani Lodge, Gohtong Jaya, Genting Highlands.
Selepas setahun, minggu ini negara dikejutkan dengan pendedahan 71 aset milik bekas Menteri Kewangan zaman Tun Mahathir, Tun Daim Zainudin yang tidak diisytiharkan oleh beliau ketika diminta berbuat demikian oleh SPRM.
Daripada senarai itu, termasuklah, Avilion Port Dickson yang kami kunjungi untuk meraikan hari jadi setahun lalu dan juga Puncak Dani & Dani Lodge itu.
Daim yang diam ini benar-benar bilionair. 71 aset yang tidak diisytiharkan sebagaimana yang diserahkan kepada mahkamah itu memang menunjukkan beliau hebat.
Dalam diam, Daim membina sebuah konglomerat yang besar dan meliputi pelbagai jenis perniagaan dengan bermula perniagaan garam sahaja.
Beliau memang diam walaupun beliau amat kaya. Namun yang peliknya, beliau tidak pernah dinobatkan sebagai antara orang yang terkaya di Malaysia.
Sebelum ini, ramai yang bercerita tentang cara Daim berpakaian. Daim dikatakan jarang memakai kasut apatah lagi yang berjenama mahal. Beliau hanya gemar memakai capal sahaja.
Apabila rakan-rakan membangkitkan cara Daim datang ke mahkamah Isnin lepas, dengan mata yang sakit dan berkerusi roda jenama murah, saya tidak terkejut.
Ada yang berkata, Daim cuba menarik simpati ramai dengan cara beliau tiba ke mahkamah itu. Daim dikatakan cuba menarik simpati ke atas beliau dan memetakan imej ‘jahat’ kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun, apabila terdedahnya 71 aset yang tidak isytiharkan, simpati yang cuba diraih hancur begitu sahaja. Tumpuan rakyat adalah kepada harta beliau.
DAIM DAN ANWAR
Selama ini, pelbagai cerita yang keluar tentang Daim termasuk hubungan beliau dengan Anwar. Daim sendiri mendedahkan, Anwar sepatutnya berterima kasih kepada beliau kerana turut membantu kempen beliau dalam pilihanraya negeri (PRN) Port Dickson lalu.
Saya teringat satu cerita yang saya letakkan ia setaraf dengan penglipurlara sahaja tentang hubungan antara Daim dengan Anwar ini.
Semasa mereka dalam kabinet Mahathir dahulu, Daim amat sukar untuk keluar rumah terutama pada waktu malam. Ini kerana, isteri beliau sukar untuk membenarkan Daim keluar kecuali dengan alasan yang jelas dan munasabah sahaja.
Untuk membolehkan beliau keluar rumah, Daim akan meminta Anwar atau Tan Sri Wan Mokhtar (bekas Menteri Besar Terengganu) menelefon beliau. Telefon dari salah seorang daripada mereka sahaja diperlukan untuk membolehkan Daim keluar rumah.
Selepas mendapat panggilan telefon daripada Anwar atau Wan Mokhtar yang berimej bersih itu, Daim dengan mudah boleh keluar rumah dengan alasan bertemu salah seorang dari mereka..
Saya memberitahu rakan media yang membawa cerita itu, jika Daim boleh mengungkit kisah dia menolong Anwar ketika PRN, Anwar juga boleh mengungkit bagaimana dia digunakan untuk membolehkan Daim keluar dari rumah khasnya pada waktu malam dahulu.
Ketika cerita Daim timbul, terlintas juga di paparan Facebook saya rakaman temubual santai televisyen Indonesia dengan Anwar dahulu.
Ketika ditanya oleh moderator rancangan, apakah beliau tidak marah terhadap perbuatan Dr Mahathir terhadap beliau ketika dipukul dalam lokap, Anwar berkata, beliau sudah memaafkan mereka.
“Tetapi saya tidak boleh diam ketika wang negara dirompak di depan mata. Ketika itu saya Menteri Kewangan,” kata Anwar yang boleh memberikan gambaran apa yang berlaku kepada Daim sekarang.
Kalau dahulu saya tidak faham kenyataan ini, namun dengan pendedahan yang dibuat oleh SPRM dalam mahkamah tentang 71 aset yang tidak diisytiharkan, fahamlah saya kenapa Anwar terlalu marah kepada Daim dan bosnya Mahathir.
Kalau selama ini tidak ada mana-mana pembesar negara yang sanggup berdepan dengan Mahathir, kini Anwar selaku Perdana Menteri memberikan kebebasan sepenuhnya untuk pihak berkuasa menyiasat dan mendedahkan.
Semoga selepas selesai sesi penyiasatan dan pendedahan ini, kita semua tahu apa yang benar dan apa yang cuba disembunyikan selama ini.
Penulis adalah wartawan yang berusaha merekodkan sejarah negara.