Berita

Da’i Syed sempat berdakwah, sambut Maulidur Rasul dalam penjara

- Diterbit 25 September 2024 8:00 AM MYT

HIDUP dalam penjara bukanlah sesuatu yang mudah. Itulah antara luahan pendakwah bebas, Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 29, ketika berkongsi pengalaman pahitnya semasa menjalani hukuman 21 hari di Penjara Kajang.

Bagaimanapun, Da’i Syed bersyukur kerana menerima layanan yang baik dalam penjara dan sempat menyebarkan dakwah di sebalik tembok besi itu.

Menurutnya, walaupun berada dalam penjara, dia masih berpeluang untuk menyambut sambutan Maulidur Rasul dan berkongsi ilmu agama dengan banduan-banduan lain.

“Gelap hidup saya pada saat itu. Masuk penjara adalah sesuatu yang sangat pahit. Namun, Alhamdulillah kesihatan saya sepanjang berada di sana baik-baik sahaja.

“Layanan yang saya terima baik sahaja. Saya gunakan masa dalam penjara untuk berdakwah, ajar banduan lain mengaji, dan berkongsi kisah tentang nabi dan rasul.

“Jadi, walaupun dalam keadaan yang sukar, saya masih dapat memberi manfaat dan ilmu kepada mereka,” kongsi Da’i Syed menerusi sebuah video yang tukar dalam media sosial.

Namun, di sebalik usahanya untuk memanfaatkan masa di penjara, Syed masih tidak dapat lari daripada realiti pahit kes yang sedang dihadapinya.

Mahkamah Tinggi, semalam menetapkan 5 November depan sebagai tarikh sebutan semula pengurusan kes pendakwah bebas, Da’i Syed atas dakwaan merogol seorang wanita pada tahun 2020.

Terdahulu, selepas 21 hari berada dalam penjara menjalani hukuman atas pertuduhan merogol seorang wanita, Syed dilepaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 20 September lalu.

Pada 30 Ogos lalu, Syed sebagai tertuduh ketika itu, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah pertuduhan merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu.

Hakim Norazlin Othman memutuskan demikian selepas mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan Syed Shah Iqmal didakwa atas pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun (ketika kejadian) di dalam bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7, di sini pukul 1.35 pagi pada 11 September 2019. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas