BUKANLAH merajuk atau kecewa dengan industri, pelakon hebat Zahiril Adzim mengaku sudah tiba masanya dia menceburi bidang lain iaitu bisnes yang bakal diumumkan kelak.
Bagi Zahiril atau nama sebenarnya Muhammad Zahiril Adzim Mohd Mokhtar,40, setelah 17 tahun berada di hadapan kamera sebagai pelakon, dia juga terfikir untuk lebih aktif di belakang tabir.
“Saya ada terfikir untuk berada di belakang tabir. Sebelum ini saya penat tubuh badan mungkin selepas ini saya kena bersedia untuk penatkan fikiran dengan cara kerja di belakang kamera.
“Berbanding berlakon di hadapan kamera, ia banyak gunakan tenaga dan badan cepat penat sebab kena selalu tukar baju selain cuaca panas tak menentu dan banyak lagi perkara,” katanya kepada Wilayahku pada majlis pratonton filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Dalam masa yang sama, Zahiril juga menjelaskan sekarang adalah masa atau laluan buat pelakon-pelakon baharu untuk terus bersinar.
“Rasanya dah tiba masanya untuk saya ceburi bidang lain pula. Saya sendiri tak tahu berapa lama lagi mampu bertahan dalam dunia seni.
“Dengan gelombang pelakon baharu lagi…pastinya saya alu-alukan kedatangan mereka untuk mewarnai industri kita.
“Saya juga bersedia untuk memberi tunjuk ajar jika diperlukan.
“Ini masanya untuk pelakon baharu bersinar. Saya mungkin boleh duduk di belakang dan membantu beri tunjuk ajar pada mereka.
“Kalau perlu, saya akan berikan pertolongan selain sokongan mengenai ilmu lakonan seperti mana yang pernah saya dapat ketika awal kemunculan saya sebagai pelakon dahulu,” ungkapnya.
Dalam perkembangan Zahiril akan muncul dalam filem seram Waruga: Kutukan Ilmu Hitam arahan Azaromi Ghozali yang ditayangkan pada hari ini (15 Februari 2024).
Filem ini turut menampilkan Datin Elvina Mohamad, Eriza Allya, Shahronizam Noor, Ustaz Dinie, Along Eyzendy, Izzue Islam, Ruminah Sidek, Nizam Kama serta pelakon kanak-kanak, Putri Amirah Maisara dan Syed Irfan. – WILAYAHKU