SEBANYAK 10 buah kampung di daerah Jerantut yang terletak 5 kilometer daripada Sungai Pahang, dijangka bakal dilanda banjir.
Amaran dikeluarkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia susulan ramalan aras sungai Water Level Trend Forecast (WLTF) bertarikh 2 Disember, jam 4 pagi serta status aras air sungai yang diramalkan menaik dan melebihi aras bahaya.
Banjir dijangka akan berlaku di daerah negeri Pahang bermula jam 11 pagi ini sehingga Rabu, jam 11 malam.
“Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan.
“Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir,” menurut kenyataan PRABN dalam laman web rasminya.
Antara kampung yang dijangka terlibat ialah Kampung Kuala Retang, Kampung Sepial, Kampung Tanjung Bungor, Kampung Kuala Tembeling, Kampung Bantal Seberang, Kampung Batu Balak, Kampung Keluang, Kampung Sungai Yap, Kampung Pasir Durian dan Kampung Doja.
Bagi mendapatkan informasi terkini mengenai banjir boleh layari laman sesawang https://publicinfobaniir.water.gov.my dan Facebook @PublicinfoBanjir untuk maklumat lanjut – WILAYAHKU