KUALA LUMPUR – Wilayahku Junior Championship 2020 (WJC 2020) yang berlangsung pada 1 hingga 2 Februari lalu di Padang Bola Sepak KLFA, Taman Melawati di sini berjaya menampil ramai bakat baharu sukan bola sepak yang mampu digilap sejak dari kecil.
Kejohanan dua hari bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan itu berjaya menghimpunkan lebih 300 pemain cilik berusia di bawah 12 tahun.
Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu kategori pemain terbaik bawah 8 tahun, 10 tahun dan 12 tahun selain juara setiap kategori.
Biarpun berlangsung dalam keadaan cuaca panas terik, ia tidak menghalang 27 pasukan berentap merebut gelaran juara kejohanan itu.
Setiap pemain menunjukkan semangat yang tinggi dengan kehadiran ibu bapa yang memberikan sokongan padu.

Menurut salah seorang pemenang kategori pemain terbaik, Daliea Mohd. Hafiz, 12, dia banyak menghabiskan masa dengan menjalani latihan semata-mata untuk beraksi pada WJC 2020.
“Saya dan pasukan sepakat melakukan yang terbaik biarpun berdepan dengan saingan yang tidak kurang hebatnya,” ujarnya.
Kata penjaga gol pasukan BTR 09 ini, dia bangga kerana berjaya memenangi pingat dan menjadikan anugerah tersebut sebagai penguat semangat pada masa akan datang.
Kejohanan tersebut merupakan anjuran akhbar Wilayahku dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Kuala Lumpur Rovers Academy (KLRA).

Penyampaian hadiah dan medal kepada pemenang WJC 2020 disempurnakan oleh Pengurus Besar Wilayah Media Sdn. Bhd., Mohd. Burhanuddin Othman.
Hadir sama Exco Kuala Lumpur Football Association, Mustafa Kamal dan barisan penaja antaranya listinglelong.com.