Artikel

Cukuplah jadi mangsa scam

- Diterbit 27 September 2024 5:45 PM MYT

DATA yang didedahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang Dewan Rakyat Julai lalu, berkenaan mangsa penipuan dalam talian atau scam amat membimbangkan.

Ini kerana setakat Mei tahun ini sahaja, sejumlah 37,002 panggilan mangsa penipuan direkodkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC). Ia melibatkan kerugian sebanyak RM203.33 juta, satu jumlah yang cukup besar.

Menurut Perdana Menteri, sejak penubuhan NSRC pada Oktober 2022 sehingga Mei lalu, pusat respons itu telah pun menerima 95,094 panggilan berkaitan kes berkenaan.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman pula melaporkan, sepanjang tahun lalu sahaja, sebanyak 32,462 kes penipuan dalam talian dengan nilai kerugian sebanyak RM1.3 bilion dicatatkan.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 37.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Antara kes-kes yang dicatatkan adalah jenayah e-dagang, kes pelaburan tidak wujud, jenayah telekomunikasi, jenayah e-kewangan, love scam serta pinjaman tidak wujud.

Di sebalik laporan demi laporan mengenai kes penipuan didedahkan, masih ada yang berterusan menjadi mangsa scammer.

Tak mengira usia, menyedihkan apabila ada dalam kalangan yang menjadi mangsa itu adalah golongan profesional termasuk yang bekerja sebagai doktor, akauntan dan guru.

Itu belum lagi mereka yang terjerat dengan penipuan love scam hanya kerana cinta palsu. Pelbagai taktik digunakan anggota sindiket termasuk menyamar sebagai wakil daripada mahkamah, polis berpangkat tinggi mahupun bercakap mewakili agensi kerajaan lain.

Ia bagi menggerunkan mangsa yang kononnya diberitahu memiliki hutang atau kes di mahkamah, walhal semuanya adalah penipuan.

Bercakap mengenai isu ini, konsultan yang berpengalaman luas dalam bidang penyiasatan dan operasi kes jenayah, Rahmat Fitri Abdullah berkata kebanyakan mereka yang menjadi mangsa scammer adalah yang tidak tahu apa itu prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, semua pihak wajib belajar ilmu bagaimana menjadi pengguna telefon yang bijak atau celik digital.

“Semuanya berkait dengan SOP. Kita perlu belajar mengenai SOP. Mangsa yang ditipu ini pasti ada elemen yang tak ikut SOP,” katanya kepada Wilayahku.

Rahmat yang telah bersara selepas berkhidmat selama 21 tahun dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata sebagai contoh apabila seseorang itu hendak membuat pinjaman secara dalam talian, ia perlulah melalui institusi diiktiraf Bank Negara Malaysia (BNM) dan berlesen.

“Tetapi dia (mangsa) ini tak ikut SOP, dia nak mohon secara dalam talian, nak dengan along, secara haram, sebab itu dia kena tipu. Dan secara SOP, kalau nak buat pinjaman, mana ada perlu kita pula selaku yang nak meminjam kena buat bayaran terlebih dahulu.

“Kita terima panggilan daripada pihak polis, contohnya berkenaan kes dadah. Secara SOP, polis tak akan hubungi suspek, hubungi pula guna talian telefon bimbit dan bukannya guna talian rasmi pejabat. Nampak tak?” soalnya.

Begitu juga katanya, dengan pelaburan, ia perlu melalui BNM atau Suruhanjaya Sekuriti (SC).

“Tetapi ada yang nak cepat kaya, dia tak nak ikut SOP. Sebab itu ada orang yang bijak pandai pun kena scam,” katanya.

Ditanya mengapa jenayah penipuan masih berlaku, katanya, ia disebabkan negara tidak mempunyai pendekatan yang konsisten dan proses pembelajaran secara serius.

“Nak belajar cara-cara mengelak jadi mangsa scam, kena ada kelas. Saya lihat kerugian akibat jenayah scammer ini berbilion ringgit dan tak akan selesai selagi manusia menggunakan telefon bimbit,” katanya.

GUNAKAN LAMAN RASMI

Dalam pada itu, beliau melahirkan kebimbangan terhadap modus operandi terkini sindiket scammer yang menawarkan pelbagai hadiah termasuk bantuan kerajaan melalui pautan-pautan tertentu.

“Modus operandi tekan link (pautan) yang diberikan ini cukup bahaya. Mereka ini menyamar sebagai wakil syarikat telco, utiliti dan apa sahaja dengan kononnya menawarkan hadiah termasuk bantuan-bantuan kerajaan.

“Tak payah bayar bil, bil percuma dengan syarat tekan link diberikan. Ini termasuk bantuan-bantuan kerajaan, sindiket ini akan hantar mesej-mesej kepada mangsa kalau nak dapatkan bantuan,” jelasnya.

Beliau turut berkongsi pengalaman mengendalikan kes penipuan melibatkan mangsa iaitu pasangan suami isteri yang bekerja sebagai pengutip barang kitar semula.

“Mereka ini kerugian RM40,000 wang hasil kerja. Duit ini untuk apa? Mereka menyiapkan duit ini untuk hari tua tetapi segala-galanya lesap sekelip mata. Sehinggakan nak datang ke balai polis pun sudah tidak ada duit, jadi saya meminta anggota untuk ke rumah mangsa bagi membuat laporan.

“Si penipu pula menyamar sebagai anggota polis dan wakil Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Kes ini amat menyentuh hati saya dan saya amat geram kerana ia melibatkan orang susah,” katanya.

Kini katanya, dengan adanya teknologi kecerdasan buatan (AI), pastinya jenayah scammer akan bertambah dahsyat.

“Esok lusa saya bercakap mengenai pelaburan, semua percaya kerana diri saya telah diwakili oleh AI. Kena beringat, segala hebahan, tak kira soal pelaburan mahupun pinjaman, semuanya mesti melalui laman rasmi.

“Tetapi AI ini bergerak di laman bukan rasmi. Budayakan dari sekarang, gunakan laman rasmi, baik laman rasmi kerajaan atau swasta untuk berhubung,” tambahnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas