Berita

CUEPACS sambut baik kakitangan SUHAKAM batal anjur piket

- Diterbit 10 Januari 2025 8:25 PM MYT

KONGRES Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyambut baik berhubung tiada sebarang aktiviti perhimpunan atau mogok membabitkan sekumpulan kakitangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) yang dilaporkan akan diadakan di hadapan Menara TH Perdana, Kuala Lumpur.

Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat berkata pihaknya berpendapat Kerajaan Madani yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari ini sangat prihatin mengenai isu-isu kebajikan pekerja.

“Tindakan piket bukanlah keutamaan pada ketika ini kerana CUEPACS melihat kaedah rundingan dan perbincangan boleh lagi dilakukan bagi menyelesaikan kemelut atau isu yang berbangkit melibatkan kebajikan pekerja-pekerja SUHAKAM.

“Dalam perkara ini pekerja-pekerja SUHAKAM dan Kesatuan Pekerja-Pekerja Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (KPPSHM)
telah meminta bantuan dan berharap CUEPACS dapat membantu menyelesaikan tuntutan serta permasalahan yang dihadapi mereka,” katanya.

Menurut Adnan setelah mengadakan perbincangan bersama dengan Kesatuan Pekerja-Pekerja SUHAKAM (KPPSHM) yang mewakili pekerja-pekerja SUHAKAM, mereka bersetuju untuk tidak meneruskan piket tersebut.

“CUEPACS mengucapkan terima kasih kepada semua pekerja-pekerja SUHAKAM kerana tidak meneruskan tindakan piket atas nasihat daripada CUEPACS,” katanya.

Mengulas lanjut, Adnan berkata difahamkan tindakan piket yang mahu dilakukan adalah disebabkan beberapa perkara membabitkan tuntutan kenaikan gaji dan sistem penilaian prestasi yang berbeza.

Katanya, CUEPACS akan membawa perkara ini untuk rundingan bersama dengan SUHAKAM bagi menyelesaikan permasalahan ini secara menyeluruh dan memberi kebaikan kepada semua pihak yang terlibat.

“Justeru itu, CUEPACS memohon Pengerusi SUHAKAM dan Jabatan Perdana Menteri dapat memberi ruang yang terbuka supaya proses perundingan dapat dilakukan segera bagi mengelakkan isu ini berterusan dan tidak mencapai titik persefahaman.

“Dalam masa yang sama CUEPACS menyeru semua warga kerja SUHAKAM untuk terus berkhidmat seperti biasa dan dengan penuh profesional sementara rundingan dapat dijalankan dengan baik serta harmoni,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas