KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas keprihatinan dan komitmen kerajaan yang terus memberikan keutamaan kepada perkhidmatan awam melalui pelbagai inisiatif dalam Belanjawan 2025.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata iltizam kerajaan mahu menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat adalah selaras dengan inisiatif pengenalan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk memperbaharui dan meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.
“CUEPACS berharap semua penjawat awam memberikan komitmen yang penuh dalam memastikan iltizam kerajaan ini dapat dilaksanakan dengan berkesan terutama melibatkan kerjasama dan koordinasi antara jabatan kerajaan.
“CUEPACS juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang begitu komited dalam memastikan pendapatan boleh guna penjawat awam ditingkatkan selaras dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Adnan berkata kadar gaji minimum untuk kesemua penjawat awam ditetapkan pada paras RM2,115 sebulan melalui pelaksanaan SSPA pada 1 Disember ini secara berfasa.
Beliau berkata pada masa sama CUEPACS turut menghargai komitmen kerajaan untuk meneruskan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) kepada penjawat awam.
“Pemberian berjumlah RM500 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak yang akan disalurkan pada Februari 2025 sudah tentunya memberikan kelegaan kepada penjawat awam terutama dalam menghadapi pembukaan sesi sekolah dan sambutan Ramadan serta Aidilfitri pada tahun hadapan yang sangat rapat pada bulan Februari dan Mac.
“Secara tradisinya kerajaan memperuntukkan BKK setiap tahun kepada penjawat sejak tahun 2013 sebagai tanda terima kasih atas kesungguhan yang tidak berbelah bahagi penjawat awam dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.
Adnan berkata komitmen Perdana Menteri untuk meneruskan pemberian ini amatlah CUEPACS hargai. – WILAYAHKU